Rundingan penyertaan ekuiti DNB berjalan lancar - Fahmi

Fahmi Fadzil. - Foto Bernama
Fahmi Fadzil. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia berjaya mencapai persetujuan berkaitan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) termasuk perjanjian akses 5G.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia sepertimana komitmen yang diberikan sebelum ini, pihak Maxis telah memulakan proses untuk menandatangani perjanjian itu bersama DNB selepas beberapa isu berkaitan perkara tersebut dimuktamadkan pada 11 Julai lalu.

"CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB.

"Seterusnya, menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023, sebelum beralih kepada model dwirangkaian seawal Januari 2024.

"Pihak syarikat penyedia perkhidmatan akan mengambil semua tindakan tata kelola sewajarnya bagi menyempurnakan proses ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Fahmi, setakat 30 Jun lalu, DNB telah membangunkan infrastruktur rangkaian 5G meliputi 64.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Ujarnya, ia sekali gus menunjukkan syarikat itu berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Pelanggan Maxis akan mula menikmati perkhidmatan 5G setelah Maxis mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bulan depan.

"CelcomDigi, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications telah pun menawarkan perkhidmatan 5G selepas menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB sejak tahun lalu," ujarnya.