Sediakan dana persaraan yang mencukupi

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

TERSENARAI di kedudukan pertama dalam 10 tempat paling selamat untuk bersara di rantau Asia pastinya menjadikan Malaysia sebagai tempat persaraan dambaan ramai individu.

Menurut syarikat perkhidmatan kewangan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Nasdaq seperti yang dilaporkan media pada Sabtu, Malaysia menghuni tangga teratas sebagai tempat persaraan terbaik mengambil kira dua faktor utama iaitu purata kos sara hidup bulanan dan indeks keamanan global.

Negara ini merekodkan purata kos sara hidup kurang AS$2,000 atau RM9,043 sebulan iaitu sebanyak AS$1,066 (RM4,825) manakala indeks keamanan global yang dicatatkan adalah 1.471.

“Malaysia di tempat pertama dengan indeks kos sara hidup 22.9 dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$481.9 trilion. Dengan purata perbelanjaan bulanan lebih AS$1,000, ia tempat yang sangat baik untuk dipertimbangkan oleh pesara,” kata Nasdaq.

Dengan kedudukan itu, ia diharap sedikit sebanyak dapat 'menjentik hati' ramai rakyat Malaysia yang sedang bekerja di luar negara untuk kembali pulang ke tanah air.

Seperti yang diketahui, berlaku fenomena brain drain atau penghijrahan pakar di Malaysia sejak puluhan tahun lalu ekoran gaji yang rendah dan kekurangan peluang pekerjaan di negara ini.

Dilaporkan sehingga tahun lalu, lebih daripada dua juta atau 6.25 peratus penduduk Malaysia berada di luar negara dengan kebanyakannya secara kekal dan tidak pulang.

Akibatnya negara kehilangan beberapa doktor Melayu terbaik, jurutera, saintis, profesor universiti dan banyak lagi golongan profesional yang lain.

Jadi dengan mengambil kira keadaan negara yang aman dan kos sara hidup yang rendah antara negara Asia yang lain, ia menjadi pilihan menarik kepada tenaga pakar untuk kembali mencurahkan khidmat di Malaysia atau sekurang-kurangnya pulang bagi menikmati usia persaraan di tanah air sendiri.

Kerajaan juga telah melakukan pelbagai usaha dan sentiasa mencari kaedah mengekalkan bakat serta menarik minat rakyat Malaysia di luar negara untuk kembali ke tanah air dan bekerja.

Bagi rakyat yang sememangnya berada di negara ini pula, kedudukan yang dicapai negara itu sememangnya akan membuatkan mereka rasa bertuah.

Menjadi impian setiap insan untuk meniti usia emas dalam suasana selamat, tenang, kos hidup rendah dan mempunyai sumber kewangan atau wang tabungan yang mencukupi.

Namun bagi yang baharu bekerja, mereka tidak boleh merasa bahawa kedudukan mereka sudah selesa kerana ketika mencapai usia persaraan pada 30 hingga 40 tahun akan datang, kos sara hidup di negara ini pastinya akan berubah.

Oleh itu, penting buat setiap individu yang bekerja terutama bagi pekerja sektor swasta dan pekerja tidak formal untuk mempunyai dana persaraan yang mencukupi bagi mengelakkan mereka hidup sukar apabila pencen kelak.

Anggaran simpanan persaraan ideal yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah RM600,000 bagi membolehkan seorang pencarum bujang menampung kehidupan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara, iaitu kira-kira RM2,500 sebulan.

Laporan yang dikeluarkan Nasdaq itu untuk mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, namun apa yang membimbangkan didapati kira-kira 97 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal itu untuk bersara dengan selesa di bandar-bandar utama.

Lebih merisaukan, berdasarkan laporan daripada Kajian Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS 2020), sebanyak 60 peratus golongan belia di negara ini tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk bertahan lebih daripada tiga bulan.

Trend ketika ini menyaksikan ramai belia yang mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi memilih untuk bekerja sendiri terutama dalam bidang ekonomi gig kerana merasakan ia lebih bebas tanpa terikat dengan majikan.

Bagaimanapun, mereka mungkin perlu terus bekerja sehingga hari tua sekiranya tidak mempunyai simpanan untuk tujuan persaraan.

Oleh itu, belia dan pencarum KWSP amat perlu melakukan tabungan yang mencukupi dan ia boleh dibuat menerusi pelbagai cara iaitu bukan sahaja dalam bentuk simpanan wang dan pelaburan unit amanah tetapi juga menerusi simpanan emas kerana kita tahu emas adalah instrumen simpanan yang baik.

* Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian