KKM tunggu laporan siasatan polis kematian Dea Maisarah

Dr Zaliha menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Taman Ria Jaya pada Ahad. - Foto Bernama
Dr Zaliha menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Taman Ria Jaya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu laporan siasatan polis berhubung kes kematian kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun didakwa akibat kecuaian di sebuah hospital kerajaan di Klang, Selangor baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau juga perlu mendapatkan maklumat terperinci daripada semua pihak terlibat sebelum membuat penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta agar tidak menyebarkan info yang tidak sahih dan tidak terpengaruh dengan isu yang tular di media sosial kerana belum tahu cerita sebenar.

"Cuma saya minta supaya rakyat di luar sana lebih berhati-hati dan mendapatkan sumber yang betul...jangan sebarkan perkara yang tidak baik kerana ia akan mewujudkan sentimen yang tidak baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Madani Afiat dan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada Ahad.

Kisah Dea Maisarah Bada, 10, yang didakwa meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di Klang tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai persepsi orang ramai.

Pihak hospital juga didakwa membuat laporan palsu berhubung kematian kanak-kanak itu dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.

Pada Sabtu, media melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut dan sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapan perasmiannya memaklumkan kes jangkitan malaria di negara ini terkawal.

"KKM telah berjaya mencapai sasaran Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan (PSEMK) 2011 hingga 2021, iaitu sifar kes malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) bermula 2018 dan berjaya mengekalkan pencapaian tersebut untuk lima tahun berturut-turut," katanya.

Pada majlis sama, Zaliha turut menyampaikan Anugerah Tokoh Malaria 2023 kepada Pengasas Program Segitiga Malaria di Semenanjung Malaysia yang juga bekas Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Pius Premaraj. - Bernama