Lebar jalan, bina jejambat atasi kesesakan di Alam Sari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KAJANG - Pelebaran jalan dan pembinaan jejambat antara penyelesaian yang dicadangkan bagi menangani isu kesesakan jalan keluar masuk di Jalan Alam Sari dan Jalan Reko di sini.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, isu tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Teknikal bersama pihak berkaitan terdiri pemaju, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 24 Mei lalu.

Menurutnya, hasil perbincangan tersebut telah berjaya mengenal pasti cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah kesesakan yang dibangkitkan penduduk.

"Bagi cadangan penyelesaian jangka pendek, pemaju telah diarahkan untuk menyediakan pelan terperinci bagi cadangan melebarkan jalan di persimpangan jalan ke jambatan ESSET– Jalan Sungai Tangkas.

"Penyediaan pelan cadangan ini akan mengambil sedikit masa bagi memastikan ia akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika ini," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Kamarul Izlan berkata, bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, pihak perunding yang dilantik telah menyediakan Laporan Traffic Impact Assessments (TIA) Makro.

Ujarnya, berdasarkan laporan TIA tersebut, terdapat tiga cadangan disyorkan iaitu pembinaan jejambat di Jalan Reko dari arah Kajang ke UKM Bangi.

"Cadangan kedua ialah melebarkan Jalan Persiaran KWSP, termasuk jambatan sedia ada kepada tiga lorong untuk dua hala, termasuk membina struktur jambatan baru bagi tujuan pelebaran tersebut. Cadangan ini akan melibatkan isu pengambilan balik tanah milik UKM.

"Cadangan ketiga ialah pembinaan Lebuhraya Putrajaya Bangi (PBE) yang akan mempunyai laluan keluar masuk dari Jalan Bestari, Taman Universiti ke Lebuhraya PBE.

"Pembinaan lebuhraya ini dijangka dapat membantu untuk menyuraikan aliran trafik yang menghala ke Jalan Reko/UKM," katanya.

Beliau berkata, satu pertemuan bersama penduduk setempat akan diaturkan sebaik pelan reka bentuk dan butiran laporan lengkap diserahkan oleh pihak perunding.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan penderitaan dihadapi penduduk Alam Sari yang berdepan isu kesesakan teruk pada waktu puncak ekoran pertambahan trafik sehingga 20,000 kenderaan setiap hari sejak laluan Serene Height-Alam Sari dibuka, setahun lalu.

Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Alam Sari, Datuk Fadzilah Mohd Salleh berkata, pembukaan jalan tersebut telah menyebabkan kebanjiran kenderaan dari kawasan Semenyih yang menggunakan laluan tersebut sebagai jalan pintas untuk ke Bandar Baru Bangi dan Kajang.

Dua titik utama kesesakan ialah di persimpangan lampu isyarat German-Malaysia Institute (GMI) dan di persimpangan terowong di Kampung Sungai Tangkas berhampiran Stesen Komuter UKM.