Isu kekurangan pegawai perubatan tak jejas operasi hospital - Dr Zaliha

Dr Zaliha (tengah) ketika melakukan lawatan ke projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia di sini pada Sabtu.
Dr Zaliha (tengah) ketika melakukan lawatan ke projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Isu kekurangan pegawai perubatan tetap tidak menjejaskan operasi perkhidmatan di fasiliti kesihatan seperti didakwa baru-baru ini berlaku di sebuah hospital di Melaka, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha berkata, buat masa ini berlaku penempatan pegawai perubatan tetap di seluruh negara susulan peralihan lantikan kontrak ke jawatan tetap.

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan berlaku kekurangan doktor di sesetengah negeri akibat pertukaran keluar dan masuk pegawai.

Bagaimanapun, Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menggerakkan doktor pelatih yang menamatkan latihan siswazah untuk memenuhi keperluan perkhidmatan di fasiliti kesihatan, justeru menangani isu kekurangan tersebut.

"Ia bukan suatu masalah yang besar sehingga operasi hospital tak boleh berfungsi.

"Mungkin ada beberapa kekurangan sana sini tetapi apa kita kena pastikan perkhidmatan itu berjalan dengan lancar. Insya-ALLAH ia akan selaras sebaik mungkin," katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di Terengganu di Klinik Desa Pulau Bahagia di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang tular di media sosial pada Jumaat mengenai masalah kekurangan pegawai perubatan di sebuah hospital dipercayai di Melaka sehingga menjejaskan rawatan kesihatan kepada pesakit.

Melalui perkongsian tular media sosial itu, sebuah pemilik akaun Twitter dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak mendakwa tiada kemasukan pegawai perubatan tetap ke Melaka sehingga mengganggu perkhidmatan di hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, berlaku penambahan pegawai perubatan kontrak di hospital di Melaka bagi menangani isu berkenaan.

"Insya-ALLAH, kita akan keluar kenyataan media lebih lengkap berkenaan isu ini dalam masa terdekat," ulasnya.