Terengganu kuat kuasa larangan kempen pilihan raya di masjid, surau

Sebarang aktiviti melibatkan kempen pilihan raya atau program berunsur politik tidak dibenarkan diadakan di mana-mana masjid atau surau di Terengganu. (Gambar hiasan)
Sebarang aktiviti melibatkan kempen pilihan raya atau program berunsur politik tidak dibenarkan diadakan di mana-mana masjid atau surau di Terengganu. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu menguatkuasakan larangan terhadap sebarang aktiviti melibatkan kempen pilihan raya atau program berunsur politik di mana-mana masjid atau surau di negeri itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 Julai lalu.

Katanya, ia melibatkan semua ahli politik termasuk golongan aktivis yang mana mereka dilarang menjadi khatib dan imam solat Jumaat sepanjang tempoh berkempen tidak lama lagi.

"Semua ahli politik dan aktivis dilarang menyampaikan apa-apa kuliah atau ceramah agama sepanjang tempoh kempen di semua masjid dan surau negeri ini.

"Selain itu, sebarang program atau aktiviti kempen oleh mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga adalah dilarang sama sekali," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, larangan itu dikuatkuasakan bagi menjaga keharmonian dan kemuliaan masjid serta surau dan menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Institusi masjid dan surau tidak boleh dijadikan tempat kegiatan politik kepartian yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

"Mana-mana agensi kerajaan yang berhasrat menganjurkan sebarang program sama ada kuliah atau ceramah di masjid dan surau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada MAIDAM.

"Kelas pengajian agama yang telah sedia ada oleh pengkuliah tetap boleh diteruskan tetapi tidak dibenarkan menyentuh apa-apa perkara yang berbaur kempen kepada mana-mana parti politik," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua ahli jawatankuasa masjid dan surau serta imam dan bilal mematuhi arahan tersebut.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRN melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memberitahu, tarikh 29 Julai merupakan hari penamaan calon manakala hari pengundian awal adalah pada 8 Ogos depan.