Anak peniaga kuih tradisional cemerlang STPM

Aqilah (kanan) bersama ibunya, Mariam selepas menerima keputusan STPM di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu pada Khamis.
Aqilah (kanan) bersama ibunya, Mariam selepas menerima keputusan STPM di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 menjadikan kesusahan ditanggung kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai pembuat kuih sebagai pemangkin semangat untuk berjaya.

Aqilah Talib, 20, berkata, dia akan bangun untuk mengulang kaji pelajaran sekitar jam 4 pagi sebelum mula membantu kedua orang tuanya, Talib Abdul Rahman, 70 dan Mariam Chik, 60 menyediakan dua jenis kuih tradisional Terengganu iaitu kuih roti keramat dan ropal.

"Selepas ulangkaji pelajaran, saya akan bantu ibu menggoreng kuih-muih sebelum dihantar ke 10 gerai makan di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu dan seterusnya ke sekolah seperti biasa.

"Walaupun agak penat, namun semua itu berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang hari ini dan ia adalah hadiah terbaik untuk ibu bapa saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM Terengganu 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman dekat sini pada Khamis.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu antara 112 pelajar Terengganu yang memperolehi semua A dengan PNGK 4.00 dalam STPM tahun lalu.

Kata Aqilah, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang kerana hanya memperoleh 4A, 1B dan 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.

Katanya, walaupun mendapat keputusan sederhana, ayahnya tetap mahu dia menyambung pengajian kerana hanya ilmu mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Saya ada terima tawaran ke peringkat diploma di sebuah universiti awam, tapi saya pilih untuk sambung Tingkatan Enam sebab tak mahu susahkan ibu bapa.

"Saya sedar kemampuan keluarga (kewangan) agak terbatas dan pada masa sama mahu berada dekat dengan mereka untuk membantu menjual kuih-muih" katanya sebak.

Menurut Aqilah, dia bersyukur kerana tidak dibebani hutang setelah menyambung pengajian di Tingkatan Enam dan berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Saya harap dapat menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," ujarnya.