Love Scam: Lebih 7,000 kes sejak 2018 dengan kerugian RM382 juta

Ramli (depan, tengah) bergambar bersama barisan pelakon dan pihak penerbit filem Oppa semasa majlis pelancaran 'trailer' filem itu di Kuala Lumpur pada Rabu.
Ramli (depan, tengah) bergambar bersama barisan pelakon dan pihak penerbit filem Oppa semasa majlis pelancaran 'trailer' filem itu di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 7,548 kes 'Love Scam' dilaporkan dari 2018 sehingga Jun tahun ini membabitkan kerugian berjumlah RM382 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan penipuan cinta dalam talian adalah kes yang paling banyak diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pelbagai modus operandi (MO).

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes yang diterima sejak lebih lima tahun lalu, sekitar 82.8 peratus atau seramai 6,257 mangsa melibatkan wanita.

"Mungkin golongan wanita yang menjadi mangsa adalah mereka yang berstatus bujang, manakala lelaki pula terdedah kepada risiko kepada kes lain yang menyebabkan mereka tidak membuat laporan polis," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran 'trailer' filem kesedaran antiscam Love Scam bertajuk Oppa yang difilemkan berdasarkan kisah benar.

Karya terbitan bersama PDRM bersama Dream Film itu merupakan penghasilan filem kesedaran pertama di Malaysia.

Hadir sama Timbalan Pengarah Siasatan JSJK, Datuk Rohaimi Md Isa dan penerbit filem Oppa, Aesos Lai.

Dalam perkembangan sama Ramli berkata, teknologi canggih seperti Artifical Intelligence (AI) yang berkembang pada masa ini dilihat boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam membuat penipuan dalam talian.

Jelas beliau, jika sebelum ini penipuan mungkin sedikit terhad kerana kekangan dan hanya melibatkan teks serta gambar, namun penipuan lebih meyakinkan akan digunakan oleh pihak scammer membabitkan teknologi AI.

"Bagaimanapun pdrm pada masa ini masih belum menerima sebarang laporan penipuan melibatkan teknologi AI.

"Namun dalam lanskap kehidupan baharu di dalam semua aspek, kita semua perlu bersedia untuk segala kemungkinan termasuk tindakan penipuan membabitkan teknologi AI," katanya.