Tindakan tegas pihak terlibat jual dadah dalam laman sesawang gelap

Fahmi bercakap kepada pemberita ketika hadir pada program Ruang Bicara mengenai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Wisma Bernama pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi bercakap kepada pemberita ketika hadir pada program Ruang Bicara mengenai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Wisma Bernama pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti penjualan dadah jenis sintetik melalui laman sesawang gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia susulan pihaknya mengambil maklum pendedahan oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suteko Ahmad Belon mengenai dadah berkenaan yang kini dijual pada harga serendah RM18 menerusi platform dalam talian.

Fahmi berkata, tindakan itu akan diambil setelah pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapat maklumat terperinci, selain akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Tapi dalam masa sama, saya turut difahamkan ada laman sesawang lain, saya tidak akan sebut (laman sesawang) supaya tindakan yang tepat boleh diambil,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Selain itu, Fahmi berkata, satu mesyuarat telah diadakan bersama AADK pada Isnin, bagi membincangkan langkah dan mekanisme penting dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Terdahulu, pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023, Suteko juga berkata, bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi yang dijual menerusi platform dalam talian itu dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Dadah dijual semurah RM18

Lebih sejuta rakyat Malaysia penagih dadah