Dadah dijual semurah RM18

Sutekno Ahmad Belon pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah pada Isnin. - Foto: Bernama
Sutekno Ahmad Belon pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hanya semurah RM18, dadah sintetik didakwa boleh dibeli menerusi laman web gelap (dark web) dan aplikasi Telegram serta WhatsApp.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon.

"Pembelian menerusi laman web berkenaan dan kedua aplikasi itu merupakan antara pilihan penagih selain mendapatkan menerusi tokan," katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman klien AADK harga tersebut boleh diperoleh termasuk caj penghantaran.

"Pihak berkuasa sedang berunding dgn kementerian yang menyelia kurier untuk mengkaji dan melaksanakan regulasi.

"Ibu bapa juga seharusnya menyemak setiap bungkusan yang diterima di rumah," kata beliau.

Ujarnya, setiap penagih baharu dianggarkan membelanjakan RM50 bagi mendapatkan bekalan dadah untuk tiga hari.

"Nilai perbelanjaan untuk mendapatkan dadah ini akan meningkat mengikut tahap keseriusan penagihan dan keaslian dadah tersebut," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kesedaran berhubung kesan penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang, mesyuarat JKMD menyarankan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan supaya dapat berganding bahu merangka, menyusun inisiatif atau program efektif dan bermanfaat kepada penagih dadah untuk pengekalan pemulihan sepanjang hayat.

"JKMD juga mengambil perhatian serius dan bersetuju supaya KDN melalui AADK melaksanakan Kempen Satu Juta Ahli Skuad Antidadah," katanya.

Sutekno berkata, kerajaan juga sedang giat merangka rang undang-undang (RUU) Akta Penyalahgunaan dadah dan bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.

"Kita jangkakan RUU ini akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun lalu," katanya.