Lebih sejuta rakyat Malaysia penagih dadah

 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tahap penagihan dadah di negara ini membimbangkan apabila anggaran terkini menunjukkan 1,097,408 rakyat negara ini terjerumus ke dalam najis dadah.

Lebih menyedihkan kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 328,640 daripada jumlah itu adalah mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

"Daripada jumlah itu juga,1,051,712 adalah penagih lelaki manakala 45,696 lagi penagih wanita," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) Bilangan 1 bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Isnin.

Malah beliau berkata, dapatan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 menunjukkan setiap 100 orang belia di negara ini, enam daripadanya mengaku pernah mengambil dadah manakala empat lagi mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan.

"Justeru, saya memberi tempoh selama tiga bulan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar mengusahakan koordinasi di antara beberapa agensi yang berkaitan untuk merangka, menyusun inisiatif atau program yang efektif dan bermanfaat.

"Langkah ini bagi memastikan gejala dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan di samping mengusahakan pemulihan kepada penagih dadah sedia ada," jelasnya.