Bank Islam lancar kemudahan pembayaran zakat akaun simpanan dan pelaburan

Mohd Muazzam (tiga dari kiri) bersama Mohd Sabirin (tiga dari kanan) dan Ahmad Shukri (dua dari kanan) pada majlis Pelancaran Kemudahan Pembayaran Zakat Akaun Simpanan dan Pelaburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohd Muazzam (tiga dari kiri) bersama Mohd Sabirin (tiga dari kanan) dan Ahmad Shukri (dua dari kanan) pada majlis Pelancaran Kemudahan Pembayaran Zakat Akaun Simpanan dan Pelaburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A
BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan kemudahan pembayaran zakat akaun simpanan dan pelaburan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pelancaran itu bertujuan membantu pelanggan bank membayar zakat ke atas akaun simpanan dan pelaburan mereka kepada agensi mengurus zakat (AMZ).

"Antara AMZ terlibat ialah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Lembaga Zakat Kedah (LZNK),” katanya pada majlis Pelancaran Kemudahan Pembayaran Zakat Akaun Simpanan dan Pelaburan di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff, Ketua Divisyen Kutipan, LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Agihan dan Pembangunan Asnaf, LZNK, Riduan Ahmad.

Mohd Muazzam berkata, menerusi kemudahan itu Bank Islam mengguna pakai konsep syariah iaitu kontrak Wakalah apabila pelanggan sebagai muwakkil memberi kuasa kepada Bank Islam sebagai wakil untuk melakukan pembayaran kepada pusat AMZ.

Antara akaun Bank Islam yang diambil kira bagi kemudahan itu ialah Akaun Simpanan dan Semasa (Qard dan Asas Qard), Akaun Pelaburan (Al-Awfar, Wafiyah dan iGain) dan Akaun Deposit Bertempoh-i (Tawarruq).

"Jika pelanggan memiliki lebih daripada satu akaun, kesemua jumlah wang di dalam akaun tersebut akan diambil kira dan digabungkan untuk pembayaran zakat simpanan dan pelaburan bagi tahun taksiran semasa," katanya.

Bagi akaun amanah pula katanya, ia akan digabungkan mengikut nama pemegang utama akaun. Perkhidmatan itu tidak ditawarkan bagi jenis akaun bersama.

"Pelanggan yang berdaftar dengan kemudahan ini tidak perlu ke pusat AMZ untuk membayar zakat ke atas akaun simpanan dan pelaburan, kerana pembayaran zakat akan dilakukan oleh Bank Islam secara automatik apabila cukup haul dan nisab, malah mereka layak mendapat rebat cukai pendapatan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Artikel Berkaitan:


Pada majlis itu, Bank Islam turut mengumumkan pelancaran Sadaqa House iaitu sebuah platform pendanaan awam Islamik dengan memeterai perjanjian persefahaman dengan Buku Jalanan Chow Kit dan Brain For Future.

"Kerjasama ini bagi memudahkan penyaluran bantuan dana awam kepada sektor pendidikan modal insan yang terpinggir dan kurang bernasib baik,” kata Mohd Muazzam.