FWD perluas perlindungan insurans kepada lebih 250,000 rakyat Malaysia

FWD Insurance Berhad (FWD) memperluaskan perlindungan insurans kepada lebih 250,000 individu di Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang mendapat perlindungan menerusi penawaran penyelesaian insurans mampu milik.
Pencapaian itu mencerminkan usaha syarikat berkenaan membantu merapatkan jurang perlindungan insurans dan takaful negara, terutama dalam kalangan kumpulan B40 yang masih mencatatkan kadar penembusan perlindungan lebih rendah berbanding keseluruhan populasi bekerja.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan populasi B40 yang bekerja adalah sebanyak 30.3 peratus berbanding 50.4 peratus bagi keseluruhan populasi bekerja di Malaysia.
BNM turut menyatakan isi rumah B40 lebih terdedah kepada kejutan kewangan berikutan simpanan yang terhad serta tahap daya tahan kewangan lebih rendah.
Sehubungan itu, FWD memberi tumpuan kepada pembangunan produk yang mampu mengurangkan halangan mendapatkan perlindungan insurans, termasuk faktor kemampuan, proses permohonan rumit dan keperluan menjalani pemeriksaan perubatan.
Antara produk ditawarkan ialah Qaseh Bakti Plus, pelan insurans kesihatan yang menyediakan manfaat tunai hospital serta manfaat kematian akibat kemalangan dan bukan kemalangan.
Pelan itu menawarkan jaminan penerimaan dengan bayaran serendah RM0.17 sehari, sekali gus menyediakan pilihan perlindungan asas yang lebih mampu dimiliki oleh individu dan keluarga.
FWD turut menawarkan Qaseh Murni, pelan insurans mampu milik yang menyediakan manfaat tunai hospital ketika kemasukan ke hospital serta manfaat kematian akibat kemalangan dan bukan kemalangan.
Selain itu, Qaseh Setia merupakan pelan insurans hayat yang menyediakan perlindungan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal (TPD), selain manfaat perbelanjaan pengebumian sehingga RM3,000.
Dengan premium bermula RM70 setahun, pelan berkenaan menawarkan proses permohonan mudah tanpa memerlukan pemeriksaan perubatan.
Pelanggan yang layak turut menerima subsidi RM50 daripada FWD bagi pembelian Qaseh Setia, sekali gus membantu mengurangkan kos mendapatkan perlindungan hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance Berhad, Mak See Sen berkata, setiap rakyat Malaysia berhak mendapat akses kepada perlindungan kewangan mampu milik bagi membantu mereka menghadapi ketidaktentuan hidup dengan lebih yakin.
Beliau berkata, kejayaan memperluaskan perlindungan kepada lebih 250,000 individu merupakan pencapaian bermakna, namun masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada perlindungan kewangan.
“Ramai isi rumah berpendapatan rendah masih berdepan risiko kewangan apabila berlaku penyakit, kemalangan atau kehilangan sumber pendapatan utama.
“Melalui penyelesaian seperti Qaseh Bakti Plus dan Qaseh Setia, kami berusaha menjadikan insurans lebih mudah difahami, lebih mudah diakses dan lebih mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia yang sebelum ini kurang mendapat perlindungan.
“Ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk membantu merapatkan jurang perlindungan negara dan memperkukuh daya tahan kewangan komuniti di seluruh Malaysia,” katanya.
FWD akan terus memperluaskan jangkauannya di seluruh negara menerusi penyediaan penyelesaian perlindungan berteraskan keperluan pelanggan.
Usaha itu turut memberi penekanan kepada penyediaan produk yang lebih mudah difahami, mudah diakses dan relevan dengan keperluan harian rakyat Malaysia.
Qaseh Bakti Plus, Qaseh Murni dan Qaseh Setia diedarkan secara eksklusif menerusi rakan bancassurance FWD, iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

