Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia perakui tiga objektif

Mesyuarat pertama SPIIM yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Isnin.
Mesyuarat pertama SPIIM yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM) memperakui tiga objektif penubuhannya iaitu menjamin dan mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Menurut SPIIM, antara lain adalah memperkasakan perpaduan dan kesatuan umat Islam di Malaysia sebagai asas kerukunan bernegara dan menyuburkan keharmonian bermasyarakat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk, berbilang agama dan kaum.

Perkara tersebut telah dicapai melalui mesyuarat pertamanya yang diadakan pada Isnin di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Tambah SPIIM, pihaknya juga menjunjung titah Raja-Raja Melayu berhubung kalimah ALLAH dan menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 2014 bahawa ia adalah khusus untuk umat Islam.

“SPIIM menyokong penuh usaha Kerajaan Perpaduan menyegerakan tindakan mengemas kini arahan pentadbiran dan pekeliling Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penguatkuasaan kalimah ALLAH agar tidak berlaku lagi isu dan kes mahkamah seumpama kes Jill Ireland yang membawa masuk CD bertulis kalimah ALLAH pada tajuknya menerusi LCCT Sepang, Selangor.

“SPIIM turut menyeru semua pihak supaya meneruskan usaha-usaha berdakwah bagi memupuk masyarakat Madani yang membawa mesej Rahmah dan menolak kelompok yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi Bersama SPIIM, Datuk Dusuki Ahmad, Datuk Seri Ahmad Awang dan Amidi Abdul Manan.

Selain itu, turut hadir mewakili UMNO adalah Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Mohd Edrus Ab Rahman.

Parti Amanah Negara (Amanah) pula diwakili oleh Datuk Abd Ghani Samsudin, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ahmad Munsif Ismail manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili oleh Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Muhamad Muszaki Mohd Ozir.