Kerajaan PH buktikan serius tegakkan agenda kesamarataan gender

Dr Wan Azizah -Foto Bernama
Dr Wan Azizah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sungguhpun terdapat banyak desakan sejak beberapa dekad supaya ditingkatkan penyertaan kaum wanita dalam kedudukan utama pentadbiran, namun cuma perubahan kecil yang dilakukan, terutama pada peringkat pegawai kanan.

Bagaimanapun, dalam tempoh setahun di bawah pentadbiran baharu Pakatan Harapan (PH), kerajaan memenuhi janji pilihan rayanya untuk meletakkan lebih ramai wanita dalam jawatan pembuat keputusan, membuktikan ia lebih responsif gender dalam menegakkan agenda kesamarataan gender.

Bukti paling cemerlang ialah pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri - wanita pertama di negara ini yang dilantik menduduki jawatan itu.

Disamping itu. terdapat empat menteri wanita menganggotai kabinet sekarang dengan memegang portfolio penting dan empat timbalan menteri - lebih daripada sebelum ini.

Pada Khamis Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dinamakan sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, suatu lagi saat penting dalam sejarah negara kerana beliau merupakan wanita pertama yang mengetuai badan kehakiman Malaysia. Beliau menyertai senarai wajah baharu yang dilantik ke jawatan penting sejak kerajaan baru dibentuk termasuk Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara; Nik Amlizan Mohamed sebagai ketua eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera; Dr Hasnita Hashim sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara); K.Saraswathy sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK); dan Datuk Noor Farida Mohd Ariffin sebagai pengerusi Tabung Pembangunan Sumber Manusia.

Ini memperlihatkan bahawa kerajaan memberi perhatian dan momentum menegakkan kesaksamaan gender hendaklah berterusan. Pelantikan itu juga dilihat sebagai melonjakkan kedudukan wanita dalam kedudukan pembuat dasar jentera pentadbiran dan bukan sekadar penyeri atau memenuhi kuota semata-mata.

"Pelantikan lebih ramai wanita dalam jawatan kepimpinan menerusi kerajaan yang baharu adalah amat menggalakkan. Ini merupakan pengiktirafan padu terhadap keupayaan wanita untuk memimpin sambil melakukan perubahan. Ini adalah tentang pengiktirafan merit sebenar, bukan sekadar gender,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim.

Nurini yang memegang jawatan itu bermula 1 Jan 2019, juga mencipta sejarah Bernama kerana merupakan wanita pertama yang menjawat jawatan itu sejak pertubuhan itu ditubuhkan 51 tahun yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Bercakap kepada Bernama, Nurini berkata pelantikan berdasarkan merit adalah jelas dalam pemilihan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negera - beliau seorang yang sangat berkebolehan dan layak menjalankan tanggungjawab itu berdasarkan pengalaman beliau yang bertahun-tahun lamanya. Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Siti Najah Raihan Sakrani berkata pelantikan wanita baru-baru ini ke dalam jawatan dasar utama adalah langkah yang berani oleh kerajaan dan harus dicontohi oleh sektor swasta dan korporat.

"Saya yakin bahawa sektor swasta dan korporat juga melihat ini sebagai isyarat yang kuat (untuk melakukan perkara yang sama) Banyak wanita yang layak berdasarkan merit, tetapi merit sahaja tidak mencukupi kerana kerajaan mesti dilihat berani untuk mengambil tindakan dan melaksanakannya, "katanya.

Beberapa wanita yang baru-baru ini dilantik ke jawatan pembuat keputusan utama termasuk pelantikan Tan Sri Zainun Ali sebagai pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), penamaan Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen sebagai pengarah kepentingan awam dan pengerusi bukaneksekutif Bursa Malaysia Bhd dan pelantikan Datuk Zaiton Mohd Hassan menjadi pengerusi baharu Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Najah berkata sebagai langkah ke hadapan kerajaan perlu melengkapkan diri dengan keupayaan dan pengetahuan yang tepat untuk mengatasi halangan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam agenda kesamarataan gender.

"Jangan terlalu tumpukan kepada halangan, hanya tumpukan kepada agenda itu,” tambah beliau. Dr Wan Azizah sebelum ini berjanji bahawa kerajaan akan terus komited untuk meningkatkan penyertaan wanita di peringkat kepimpinan.

Dalam sektor awam, timbalan perdana menteri berkata hampir 36 peratus daripada mereka dalam kumpulan pengurusan tertinggi adalah wanita.

Bagaimanapun, pada tahun lepas, katanya hanya 1,010 atau 15.7 peratus daripada jumlah 6,245 kerusi lembaga pengarah di semua syarikat tersenarai awam yang dipenuhi oleh wanita.

Antara inisiatif yang diambil untuk menggalakkan lebih ramai wanita memegang jawatan di peringkat lembaga pengarah termasuk mewujudkan Kelab 30%, iaitu sekumpulan pengerusi pertubuhan korporat dan pemimpin perniagaan yang menjalankan kegiatan untuk menyediakan pelbagai program mentor untuk menyediakan wanita sebagai ahli lembaga pengarah. Ini dilakukan dengan visi yang mempunyai 30 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga akan terus mengadakan lebih banyak program penglibatan seperti Program Pengarah Wanita, untuk memperkasakan wanita supaya bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dalam jangka panjang, mempunyai lebih ramai wanita yang berpengalaman bukan sekadar tentang kesamarataan - ia baik untuk perniagaan dan juga untuk rakyat. Terdapat ramai wanita berkebolehan yang bersedia menghadapi cabaran baharu dan mereka perlu diberi peluang. -Bernama