Kerajaan kaji semula skim gaji perkhidmatan awam - PM

Anwar (tengah) melambaikan tangan kepada hadirin selepas Majlis Amanat Khas kepada penjawat awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. - Foto Bernama
Anwar (tengah) melambaikan tangan kepada hadirin selepas Majlis Amanat Khas kepada penjawat awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan untuk mengkaji semula skim gaji berkenaan dibuat berikutan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak adalah pada tahun 2013.

"Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan kelulusan, maka Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Dr Zulkapli Mohamed) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali), dah kemukakan pandangan kepada saya untuk memulakan pasukan mengkaji dan saya sudah bersetuju (dengan cadangan itu).

"Secara keseluruhannya, upah dan gaji penjawat awam masih di tahap yang terendah dan sangat wajar diberikan pertimbangan walaupun terikat dengan kekangan kewangan yang ada, tapi saya fikir sedikit perubahan kita boleh cari jalan supaya boleh beri (kelulusan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Mohd Zuki di sini hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, tempoh perbincangan untuk penelitian itu akan diserahkan kepada Zulkapli.

"Berapa peratus itu terlalu awal untuk komen, tetapi harus ada... ini kerana (gaji) tidak setimpal dengan kerja, kadang-kadang mereka buat kerja lebih masa... kalau rekod sepertimana kita lihat sekarang pelaburan lebih pantas dan laju, saya bagi jaminan, insya-Allah kita boleh kaji semula skim berkenaan," kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga memperuntukkan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

"Kita melihat kedudukan perumahan tentera yang sangat teruk dan terbiar sekian lama, jadi saya luluskan peruntukan segera untuk membaikinya dan esok saya akan umumkan peruntukan tambahan untuk rumah polis," kata beliau.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Polis Diraja Malaysia. - Bernama