'Tak sangka ribut seburuk ini landa Felda Gugusan Chini'

Yusri Murni (kanan) melihat keadaan rumah mereka selepas bumbung diterbangkan angin kencang pada petang Isnin.
Yusri Murni (kanan) melihat keadaan rumah mereka selepas bumbung diterbangkan angin kencang pada petang Isnin.
A
A
A

PEKAN - Hujan lebat dan angin kencang pada petang Isnin mengakibatkan 55 rumah dan premis perniagaan di Felda Gugusan Chini mengalami kerosakan.

Kejadian berlaku sekitar 10 hingga 15 minit telah mengakibatkan penduduk terlibat berdepan kerugian puluhan ribu ringgit.

Mangsa, Yusri Murni Osmail, 49, berkata, bumbung rumahnya hampir keseluruhan tercabut dan pelbagai barangan seperti pakaian, perabot dan barangan elektrik basah.

Menurutnya, semasa kejadian suaminya, Che Mazelan Che Amat dan anak mereka berada di kedai makan terletak beberapa meter daripada rumah.

"Masa itu saya berniaga, bila balik ke rumah saya terkejut melihat keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin. Hanya ALLAH yang tahu bila melihat rumah tanpa atap.

"Saya dapat lihat atap zink dan kayu berselerak di kawasan lapang hadapan rumah saya diterbangkan angin," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Dia yang menetap di rumah kedai kawasan tapak perniagaan Felda Chini Empat memberitahu, kerugian lebih RM15,000 terpaksa ditanggung akibat kejadian itu.

"Sembilan almari, dua unit televisyen saiz 55 inci dan barangan elektrik lain basah dan tidak pasti barangan elektrik masih boleh digunakan atau sebaliknya.

"Almari banyak yang basah dan tidak boleh digunakan kerana sudah pun kembang, bila-bila masa boleh roboh," katanya.

Yusri Murni berkata, dianggarkan lebih RM15,000 diperlukan bagi membina semula bumbung rumah yang rosak dan terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada.

"Dua tahun lalu saya mengeluarkan belanja lebih RM6,000 untuk menukar bumbung yang baharu, suami turut sama membantu melakukan kerja berkenaan.

"Tapi kali ini, nampak saya terpaksa berbuat perkara sama juga (bina bumbung)," katanya yang telah 12 tahun menetap di rumah berkenaan.

Sementara itu, peniaga kedai dobi, Latifah Awang, 64, pula mengaku terpaksa menanggung kerugian lebih RM30,000 susulan kejadian tersebut.

Latifah
Latifah

Katanya, dua unit mesin basuh dan satu unit mesin pengering rosak apabila bumbung kedai dobinya di diterbangkan angin kencang menyebabkan hujan masuk ke dalam premisnya.

"Saya tidak menyangka kejadian seburuk ini berlaku di Felda Chini Empat. Dalam sekelip mata banyak harta benda penduduk musnah.

"Kita dapat lihat banyak pokok hiasan tumbang, nasib baik tiada kehilangan nyawa," ujarnya yang perlu menyediakan modal tambahan bagi memulakan semula perniagaan dobi.