39 lokasi kepala air di Kedah, pengunjung diminta waspada

Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff (kiri) bersama Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli (tengah) meninjau kawasan Air Terjun Seri Perigi pada Rabu.
Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff (kiri) bersama Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli (tengah) meninjau kawasan Air Terjun Seri Perigi pada Rabu.
A
A
A

YAN - [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah telah mengenal pasti 39 kawasan peranginan dan rekreasi berisiko tinggi berlaku kejadian kepala air di Kedah terutamanya ketika cuaca tidak menentu.

Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, ia melibatkan 10 daerah seperti Padang Terap, Langkawi, Pendang, Bandar Baharu, Kuala Muda, Sik, Yan, Kulim, Baling dan Kubang Pasu.

Mohd Muaz berkata, Baling mempunyai kawasan berisiko tertinggi dengan 11 lokasi iaitu Kuala Kedua, Lata Bukit Hijau, Lata Celak Simpoi, Teratak Simpul, Air Panas Ulu Legong, Lubuk Badak, Sungai Pam, Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering serta Lata Bayu.

"Daerah Yan turut merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi dengan enam lokasi termasuklah Titi Hayun, Air Terjun Seri Perigi, Air Terjun Batu Hampar, Taman Rekreasi Sungai Badak, Sungai Bukit Kuari dan Kem Rekreasi Puteri Mandi.

"Bagi daerah Sik, lima kawasan berisiko tinggi iaitu Lata Mengkuang, pusat peranginan Rimba Taqwa, Lata Charok Rambai, Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral,"katanya ketika ditemui pemberita selepas pemantauan di Air Terjun Seri Perigi, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli.

Menurut Mohd Muaz, Kem Rekreasi Sungai Sedim, Kem Rekreasi Ulu Paip dan Air Terjun Junjung di Kulim turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlaku kepala air.

"Selain itu, Lubuk Semilang, Durian Perangin, Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi; diikuti Air Terjun Batu Pahat, Damai Park Resort dan Pusat Peranginan Tapah di Kuala Muda; Bukit Wang dan Sungai Batu di Kubang Pasu; Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya di Padang Terap; Rimba Rekrasi Bukit Perak di Pendang dan Batu Hampar Air Putih di Bandar Baharu," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, APM menyeru orang ramai agar sentiasa mengamal dan mengambil langkah-langkah keselamatan awal sekiranya berhasrat berkhemah atau beriadah di kawasan jeram, air terjun atau kawasan rekreasi air yang bukan kawasan rekreasi awam.

Mohd Muaz menasihatkan pengunjung agar peka dengan tanda-tanda awal kejadian kepala air antaranya air bertukar menjadi keruh dan mengalir laju dari biasa.

"Antara tanda awal lain iaitu deruan deras dari atas bukit atau gunung bersama puing-puing asing timbul di permukaan air serta gelombang aliran air dalam kuantiti besar," katanya.

Beliau menambah, perubahan ini merupakan antara indikator untuk mengesan sebarang kemungkinan bahaya boleh berlaku dan membolehkan pengunjung mengambil langkah keselamatan awal bagi mencegah berlakunya tragedi kepala air seperti di Jeram Mawar Air Putih, Kemaman, baru-baru ini.

Menurut beliau, beberapa langkah keselamatan awal juga perlu diambil oleh pengunjung ketika mengunjungi kawasan rekreasi air iaitu melaporkan sebarang aktiviti dan pergerakan yang hendak dilakukan di balai polis berhampiran.

"Selain itu, pengunjung perlu memastikan diri dan ahli keluarga dalam keadaan sihat, sentiasa mengambil tahu mengenai situasi cuaca di lokasi dituju, memastikan tapak khemah didirikan di tapak selamat dan tinggi, mengesan perubahan air serta segera meninggalkan kawasan tersebut jika berlaku kejadian hujan lebat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak melarang orang awam untuk mengunjungi kawasan rekreasi berkenaan, namun mereka diminta lebih peka dan berhati-hati apabila mengunjungi lokasi tersebut.

Mohd Muaz menyatakan, orang ramai turut diingatkan lebih berwaspada dengan impak angin kencang dan hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh, kepala air, kerosakan struktur dan pokok tumbang bukan sahaja di kawasan rekreasi awam tetapi juga boleh berlaku di kawasan awam dan kediaman.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, APM memiliki pasukan mencari dan menyelamat (search and rescue) yang terlatih dan memiliki kepakaran untuk digerakkan pada bila-bila masa tidak kira sama operasi daratan, air, kawasan rekreasi dan sebagainya.



ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3