14 rumah di Kuala Muda rosak dilanda ribut

Antara rumah yang rosak dalam kejadian ribut di daerah Kuala Muda. Foto APM Kedah
Antara rumah yang rosak dalam kejadian ribut di daerah Kuala Muda. Foto APM Kedah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 14 buah rumah di beberapa buah kampung dalam daerah Kuala Muda rosak akibat kejadian ribut kira-kira jam 5.30 petang Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, antara yang terjejas termasuk sebuah rumah di Kampung Berapit, Mukim Pekula; enam buah rumah iaitu empat di Kampung Sri Gading, satu di Kampung Kuala Dahanan dan satu lagi di Jalan Sekolah Kebangsaan Jeniang di Mukim Gurun.

"Manakala bagi mukim Sungai Pasir, tiga buah rumah terjejas di Kampung Bukit, dua di Kampung Masjid dan masing-masing sebuah rumah di Kampung Teluk Wang Kechil dan Kampung Teluk Wang Besar," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat masih dalam bancian namun sehingga jam 11 malam ini dan belum ada pusat pemindahan sementara yang dibuka.

"Ini merupakan kes ribut kali kelima yang dilaporkan berlaku di daerah Kuala Muda pada bulan ini.

"Kes ribut yang pertama berlaku pada 10 April lalu yang membabitkan 10 buah rumah, kedua pada 12 April (membabitkan sebuah rumah), kes ketiga pada 13 April (14 buah rumah) dan keempat pada 24 April lalu yang membabitkan 15 buah rumah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: