Dari Batang Kali ke Turkiye, K9 'tip-top' kini di Jeram Air Putih

Grouse (kiri) dan Denti (kanan) bersama dua lagi anjing K9 terlibat dalam operasi SAR mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih. - Foto fail Bernama
Grouse (kiri) dan Denti (kanan) bersama dua lagi anjing K9 terlibat dalam operasi SAR mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih. - Foto fail Bernama
A
A
A

CHUKAI - Empat anjing dari Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Frankie, Denti, Grouse dan Lady kembali beraksi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih.

Ketua Unit Pengesan K9 JBPM, Lacey Elizabeth Stanley berkata, keempat-empat anjing pengesan milik jabatan itu menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang dua hari terlibat dalam operasi berkenaan.

"Tip-top... Ten out of ten," katanya ringkas apabila ditanya mengenai prestasi yang dipamerkan hero comel itu.

Turut serta dalam operasi kali ini ialah Sarkar dari Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Bukit Aman.

Kelima-lima hero lincah ini pernah menambat hati rakyat Malaysia ketika terlibat dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor, akhir tahun lepas.

Beberapa bulan selepas itu, Denti dan Frenkie yang sudah enam tahun berkhidmat diterbangkan ke bumi Turkiye selama 14 hari bagi membantu operasi khas SAR gempa bumi yang meragut kira-kira 50,000 nyawa pada Februari tahun ini.

Berbekalkan latihan yang komprehensif dan berterusan bersama pengendali masing-masing, Lacey ternyata berpuas hati dengan 'persembahan' yang ditunjukkan masing-masing dalam misi kali ini.

Bagaimanapun, Lacey berkata, adalah menjadi tanggungjawab para pengendali untuk peka dengan keadaan haiwan tersebut terutamanya dari aspek kesihatan mereka meskipun keempat-empat anjing K9 itu belum menunjukkan tanda-tanda keletihan sepanjang terlibat operasi mengesan 10 mangsa yang hilang.

"Sepanjang operasi kita perlu sentiasa tengok keadaan mereka. Pengendali tidak boleh sedaya upaya seperti pasukan lain kerana apabila bekerja dengan anjing pengesan ini, waktu bekerja dan berehat kita ikut waktu mereka (anjing).

"Kalau ada nampak tanda-tanda anjing ini kepenatan, pengendali perlu segera merehatkan mereka dari sebarang kerja atau tugasan," katanya.

Sementara itu, pengendali Sarkar, Lans Korp Jonvi Moris berkata, beliau perlu sentiasa sensitif dengan keadaan kesihatan anjing kendaliannya dari baka German Shepherd itu yang disifatkannya hiperaktif.

Katanya, setelah empat tahun mengendalikan Sarkar, beliau sudah boleh 'membaca' keagresifan anjing berusia lima tahun itu ketika beraksi.

"Sarkar ini sangatlah hiperaktif. Boleh kata selagi dia belum pengsan, dia akan paksa dirinya bekerja dan terus bekerja walaupun dah mula tunjuk tanda-tanda kepenatan. Itu sebenarnya tidak bagus untuk kesihatannya lebih-lebih lagi sebelum ini, dia pernah terkena penyakit mudah diserang strok haba.

"Jadi, apabila lidahnya semakin terjelir panjang, air liur mula berbuih banyak serta jalan pun tidak berapa betul, saya akan segera merehatkannya. Kalau tidak, selagi itulah dia akan terus bekerja," kata pengendali Sarkar dari bahagian jenayah Unit K9 PDRM.

Walaupun belum berhasil membuat sebarang penemuan mayat mangsa, namun Sarkar yang ditugaskan untuk membuat pengesanan di tebing sungai di Sektor A dan B itu masih berperanan penting sebagai pemudah cara dalam operasi SAR berkenaan.

"Sebagai pengendalinya, saya boleh katakan setiap indikator yang Sarkar bagi sangat tepat dan membantu pencarian ini," katanya sambil memaklumkan seekor lagi anjing K9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang akan turut serta dalam operasi kali ini.

Memasuki hari keempat operasi SAR, dua daripada 10 mangsa tragedi kepala air di jeram itu perlu dikesan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Jenazah tujuh beranak selamat dikebumikan

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3