RM43 juta laksana program Jualan Agro Madani

Ahmad Zahid (dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM43 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi pelaksanaan Program Jualan Agro Madani di seluruh negara terutama di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, peruntukan tambahan berkenaan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lepas.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak 5,000 lokasi telah dikenal pasti bagi pelaksanaan program berkenaan yang membekalkan barang keperluan asas lebih murah sehingga 30 peratus.

Beliau berkata sehingga 30 Jun lepas, Program Jualan Agro Madani itu telah dilaksanakan di 52 lokasi kompleks kerajaan di seluruh negara, melibatkan kira-kira 720 usahawan tempatan serta membawa nilai penjimatan kira-kira RM320,000 kepada pelanggan.

"Kita berharap sebanyak 10,000 lokasi jualan langsung dapat dibuka pada suku ketiga tahun hadapan bagi membantu rakyat terutamanya penduduk yang berada dalam kategori miskin tegar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun akan terdapat kekangan dari segi pelaksanaan program berkenaan terutamanya melibatkan harga barang kawalan di kawasan yang mempunyai penduduk miskin tegar atau miskin bandar, serta mempunyai kuasa beli rendah.

Susulan itu, beliau mencadangkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dipraktikkan dalam pelaksanaan program berkenaan dengan menggunakan senarai dari pusat pungutan zakat atau majlis agama Islam negeri.

"Kita memohon agar kumpulan asnaf atau daif yang berada di kategori miskin tegar dapat dibantu di kawasan berkenaan mengikut senarai tersebut,” katanya tanpa memperincikan kaedah bantuan yang akan disalurkan.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berbincang untuk membentuk koordinasi yang lebih baik bagi menambah baik program jualan murah itu. - Bernama