Penjawat awam perlu jaga batas buat keputusan

Mahathir (dua, kiri) menerima cenderamata berupa potret yang dilukis oleh Orang Asli Gasur Kana (kanan) pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak hari ini. Turut sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman (dua, kanan). - Foto Bernama
Mahathir (dua, kiri) menerima cenderamata berupa potret yang dilukis oleh Orang Asli Gasur Kana (kanan) pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak hari ini. Turut sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman (dua, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Penjawat awam di negeri ini diingatkan untuk menjaga batas-batas dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan agar tidak dipengaruhi hubungan lama dengan pentadbiran terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya mendapati terdapat sebilangan kecil penjawat awam masih terperangkap dengan sentimen bos-bos daripada kerajaan sebelumnya.

"Kita tidak bermaksud mendesak supaya silaturrahim itu diputuskan kerana ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan prinsip politik matang yang diamalkan pentadbiran ini.

"Bagaimanapun, kita ingin tegaskan jagalah batas-batas supaya keputusan dan tindakan kita tidak dipengaruhi hubungan persahabatan lama. Jangan sekali-kali gadaikan sumpah janji taat setia kepada kerajaan dengan melengah-lengahkan arahan diberikan atau tidak melaksanakan keputusan hanya disebabkan konflik sentimen terhadap pentadbiran terdahulu," katanya ketika berucap pada Majlis Town Hall Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Perak hari ini.

Beliau turut meminta semua penjawat awam berhenti bermain politik dan memberi tumpuan sepenuhnya menjalankan tugas dengan penuh integriti dan amanah.

"Jangan sekali-kali mencemar nama baik institusi penjawat awam yang bekerja dengan penuh dedikasi dan keikhlasan kerana itu adalah satu bentuk pengkhianatan kepada amanah diberikan oleh rakyat," katanya.

Majlis disertai 1,500 penjawat awam dari jabatan negeri, pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun negeri turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan: