KDN beri kerjasama sepenuhnya siasatan isu ceroboh KLIA

Saifuddin hadir ke Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 peringkat kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau, di sini pada Isnin.
Saifuddin hadir ke Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 peringkat kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau, di sini pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan berhubung dakwaan insiden kekecohan melibatkan menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia menunjukkan kementerian bersikap terbuka dalam mengendalikan isu berkenaan sekali gus mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terbabit.

Menurutnya, SPRM dipelawa tanpa apa-apa halangan untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi menentu sahkan dakwaan tersebut.

"Tidak ada sebarang halangan, SPRM boleh melakukan tugas mereka dengan seluas-luasnya dan KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"25 jam sehari pun tak ada masalah menunjukkan bagaimana terbukanya kami untuk beri kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 peringkat kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Rela Malaysia, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sebelum ini, tular mengenai dakwaan seorang menteri menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri dikaitkan namun menafikan membebaskan individu berkenaan sebaliknya mendakwa kehadiran beliau membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa di pintu masuk negara.

Saifuddin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan King Sing dan akan membawa hasil perbincangan kepada jemaah menteri.

Katanya, pemeriksaan di semua pintu masuk negara oleh imigresen perlu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan kerana turut melibatkan aspek keselamatan.

"Bila kita melepasi kaunter imigresen, ada sekurang-kurangnya tiga soalan asas yang mereka akan tanya, pertama di mana tempat tinggal kita, tempat yang kita lawati, kedua ada tak dana yang cukup untuk sepanjang tempoh kita berada di sesuatu negara, ketiga ada tak tiket penerangan pulang?

"Itu peraturan imigresen antarabangsa telah diterima pakai dan apabila seseorang melepasi tiga soalan itu, urusan seterusnya tak ada masalahlah," katanya.

Menurut Saifuddin, sekiranya ada masalah barulah proses seterusnya dilakukan iaitu Not To Land (NTL).

"Jumlah NTL yang dikenakan itu sangat kecil berbanding dengan jumlah pelancong yang dibenarkan masuk, bulanan antara purata 50 hingga 60 orang sahaja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

Imigresen siasat dakwaan insiden kekecohan libat menteri

Ketua Pemuda UMNO gesa PM pecat menteri buat kecoh di KLIA

Siasat dalang sebar video, berita tidak benar - King Sing

MyBHA, MATA sokong tindakan King Sing dengar keluhan pelancong

Budaya rasuah di KLIA: SPRM siasat dakwaan King Sing

Ahli perniagaan lapor polis kes kekecohan libat menteri di KLIA

Lawatan mengejut di KLIA, PM jamin siasatan rapi dilakukan

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution