Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui bahawa dirinya merupakan individu yang dimaksudkan susulan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, King Sing menafikan tuduhan bahawa kekecohan yang timbul itu bukanlah seperti dilaporkan yang mana menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China.

Menurut beliau, kehadirannya di KLIA adalah untuk melakukan pemantauan, namun telah membawa kepada pembongkaran budaya rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang.

“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa memalukan apabila wujudnya budaya rasuah dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

“Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal, namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi, maka ini penjelasannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA bertukar kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis.

Mengulas lanjut, King Sing menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan penguat kuasa melepaskan pelawat berkenaan.

Beritahu beliau, sekiranya tindakan itu benar-benar dilakukan, ia hanya merosakkan reputasi sebagai seorang menteri.

“Apa guna saya sebagai menteri sekiranya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakutkan pelancong asing?

“Jika kita tidak serius dalam isu ini, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan dan mungkinkah ada segelintir pegawai takut sekiranya perkara tersebut terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka?” soalnya.

Pada masa sama, King Sing memaklumkan bahawa beliau dimaklumkan ada pegawai Imigresen yang meminta wang kepada pelancong asing jika mahu dilepaskan.

Katanya, penguat kuasa berkenaan meminta sehingga RM3,000 untuk pelawat dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

Bukan itu sahaja, tambahan RM3,000 juga akan dikenakan jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 bagi kos memproses visa.

Jelasnya, semua maklumat yang diperoleh itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution

Ketua Pemuda UMNO gesa PM pecat menteri buat kecoh di KLIA

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!