MyBHA, MATA sokong tindakan King Sing dengar keluhan pelancong

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyokong penuh tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang telah turun padang bagi mendengar keluhan dan melihat isu-isu dihadapi pelancong asing ke negara ini.

Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, tindakan beliau itu merupakan usaha yang akan memberi gambaran positif dan menaikkan tahap keyakinan pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia.

“Pada pendapat kami juga, seorang menteri mempunyai kuasa untuk memastikan segala isu-isu yang bersangkut di bawah kawalannya diselesaikan dan ia tidak menjadi masalah untuk beliau mengunjungi atau melakukan pemeriksaan mengejut terhadap mana-mana pejabat kerajaan atau agensi dalam usaha untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit di bawah portfolionya tersebut.

“Kami menyeru kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang telah terlibat dengan niat tidak baik serta keterlaluan atau bermotifkan serangan politik untuk mendedahkan perkara tersebut dalam usaha untuk mencalarkan imej serta memburukan tindakan yang telah dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia tersebut.

“Justeru, kami menyokong penuh tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia tersebut serta menyeru kepada Jabatan Imigresen untuk menyelesaikan perkara-perkara telah didedahkan tersebut serta sentiasa mempunyai sikap yang mengalu-alukan pelancong ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA bertukar kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis.

Pada Jumaat, King Sing mengakui bahawa dirinya merupakan individu yang dimaksudkan susulan kekecohan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menafikan tuduhan bahawa kekecohan yang timbul itu bukanlah seperti dilaporkan yang mana menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China.

Sementara itu, Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, sebagai negara yang menjadi tumpuan pelancongan asing, kerajaan perlu sediakan semua kemudahan termasuk perkhidmatan jurubahasa di kesemua pintu masuk negara.

Menurutnya, aspek komunikasi tidak sepatutnya dijadikan batu penghalang bagi pertumbuhan ekonomi dalam industri pelancongan.

“MATA menyokong penuh dengan usaha Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mengambil langkah yang proaktif bagi memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara yang melibatkan pegawai imigresen Malaysia di KLIA.

“Industri pelancongan negara mempunyai banyak saingan dengan negara-negara jiran yang memudah cara pelancong asing untuk melancong ke negara mereka.

“Jika ini masih tidak diatasi, MATA percaya pelancong akan lari ke negara lain dan ini sudah tentu merugikan pendapatan negara dan pemain industri pelancongan negara yang baru keluar daripada kemelut wabak Covid-19,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution