Dakwaan serangan siber: SPR perkukuh kawalan keselamatan laman sesawang

Ramlan
Ramlan
A
A
A

TANGGA BATU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkukuh kawalan keselamatan sistemnya susulan dakwaan laman sesawang agensi itu menjadi sasaran serangan siber pada Selasa.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima laporan lengkap berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan perkara itu.

"Kita sentiasa berharap serangan siber seperti ini tidak berlaku terhadap laman web kita kerana ia amat penting dalam pelaksanaan pilihan raya.

"Kita akan keluarkan kenyataan rasmi secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di SMK Kem Terendak di sini pada Selasa.

Mengulas langkah pencegahan, Ramlan berkata, SPR bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan sistem agensi itu tidak dicerobohi.

Katanya, tindakan melindungi sistem berkenaan sedang dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang ancaman keselamatan siber.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!