Pemangsa berselindung di sebalik skrin

Ancaman terhadap kanak-kanak bukan hanya datang daripada individu tidak dikenali, malah boleh melibatkan orang dalam lingkungan sosial mereka sendiri. Gambar kecil: Siti Kamsiah
Ancaman terhadap kanak-kanak bukan hanya datang daripada individu tidak dikenali, malah boleh melibatkan orang dalam lingkungan sosial mereka sendiri. Gambar kecil: Siti Kamsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula dengan perbualan santai mengenai permainan video atau masalah peribadi, kanak-kanak di alam maya berisiko terjerat eksploitasi seksual apabila individu yang menyamar rakan sebaya berjaya meraih kepercayaan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, penyamaran sebagai rakan sebaya antara taktik digunakan pelaku untuk membina hubungan dan mendapatkan kepercayaan mangsa sebelum mengeksploitasi mereka.

Menurutnya, pelaku lazimnya mengenal pasti minat kanak-kanak terlebih dahulu, termasuk permainan video, sebelum mendakwa mempunyai minat sama bagi mewujudkan keserasian.

“Kanak-kanak yang gemar bermain permainan video, misalnya, boleh didekati individu yang mendakwa mempunyai minat sama.

“Pelaku kemudiannya meletakkan dirinya sebagai rakan yang memahami minat mangsa atau individu yang boleh memberikan sokongan ketika mereka berdepan masalah,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Katanya, selepas membina kepercayaan, pelaku mula mengembangkan perbualan kepada perkara lebih peribadi, termasuk bertanyakan mengenai perkembangan tubuh badan, haid dan perubahan fizikal sebelum meminta gambar daripada mangsa.

Menurutnya, bagi mengukuhkan lagi penyamaran, pelaku menawarkan berkongsi gambar sendiri bagi meyakinkan mangsa bahawa mereka berkomunikasi dengan rakan sebaya.

Siti Kamsiah
Siti Kamsiah

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, penyamaran berkenaan boleh terbongkar apabila polis menjalankan siasatan berdasarkan nombor telefon dan komunikasi WhatsApp, sekali gus mengesan identiti sebenar individu terbabit,” katanya.

Jelas Siti Kamsiah, hubungan yang awalnya kelihatan seperti persahabatan juga boleh berkembang menjadi hubungan romantik apabila pelaku menawarkan diri sebagai teman lelaki atau teman wanita kepada mangsa.

“Apabila mangsa mula mempercayai hubungan berkenaan, pelaku mula meminta bahan seksual sebelum menggunakan gambar atau maklumat peribadi yang dikongsi sebagai alat untuk mengugut mangsa.

“Bahan itu kemudiannya menjadi senjata kepada suspek dan akhirnya menyebabkan jenayah tersebut berulang,” katanya.

Mengenai skala ancaman itu, Siti Kamsiah berkata, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2017 hingga 12 Jun 2026 merekodkan 13,053 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan 1,021 kes mempunyai kaitan pelbagai medium dalam talian.

“Ancaman terhadap kanak-kanak bukan hanya datang daripada individu tidak dikenali, malah boleh melibatkan orang dalam lingkungan sosial mereka sendiri.

“Analisis PDRM terhadap 13,271 hubungan menunjukkan kenalan merupakan kategori terbesar, iaitu sekitar 47 peratus, diikuti ahli keluarga 23 peratus dan individu tidak dikenali sekitar 19 peratus.

“Keadaan itu menjadikan proses mengenal pasti ancaman lebih rumit kerana pelaku boleh membina imej sebagai individu yang dipercayai sebelum mengeksploitasi hubungan,” katanya.

Dalam tempoh sama, data PDRM turut merekodkan 13,592 pelaku, dengan kira-kira 99 peratus daripadanya terdiri daripada lelaki, manakala lebih 60 peratus mangsa berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Bahan penderaan seksual dijual serendah RM30

Selain memperdaya kanak-kanak untuk mendapatkan gambar sensitif, kegiatan eksploitasi seksual itu turut berkembang kepada urusan jual beli bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM) bagi memperoleh keuntungan.

Siti Kamsiah berkata, menerusi Op Pedo, polis mengesan kira-kira 100 hingga hampir 200 kes di bawah Seksyen 8 melibatkan aktiviti membeli dan menjual bahan berkenaan.

Katanya, terdapat juga kes membabitkan sekumpulan kanak-kanak terlibat dalam kegiatan menjual bahan tersebut selepas mendapatkannya daripada internet.

“Mereka mendapatkan bahan daripada internet dan kemudian menjualnya pada harga sekitar RM30 hingga RM50,” katanya.

Menurutnya, nilai transaksi kecil menyukarkan pihak berkuasa mengesan kegiatan itu, manakala penggunaan e-dompet antara kaedah pembayaran kerana kanak-kanak terbabit tidak mempunyai akaun bank sendiri.

Dalam usaha membanteras jenayah itu, katanya, siasatan turut berdepan cabaran mendapatkan maklumat daripada penyedia platform luar negara yang memerlukan masa serta bantuan perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA).

Menurutnya, proses pembuktian juga semakin kompleks kerana bahan bukti digital boleh tersimpan dalam pelbagai peranti elektronik, termasuk telefon bimbit dan komputer.

“Siasatan turut memerlukan kepakaran forensik digital. Cabaran paling besar ialah dari sudut pembuktian apabila melibatkan jenayah seksual dalam talian, khususnya pada masa kini yang turut melibatkan teknologi dan internet,” katanya.

Selain cabaran teknikal, katanya, keadaan emosi mangsa turut mempengaruhi siasatan apabila mereka berasa takut, sukar menceritakan kejadian atau enggan mengingati semula pengalaman yang dilalui.

Mengulas perkembangan kes menurutnya, data PDRM bagi tempoh 2018 hingga Jun 2026 merekodkan 12,782 kes, dengan 7,224 kes didakwa, 2,894 kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA), 1,199 kes berstatus KIV dan 1,465 kes masih dalam siasatan.

Katanya, kadar penyelesaian kes bagi tempoh itu pula direkodkan 88.5 peratus.

Bagaimanapun tegasnya, jumlah kes yang didakwa tidak boleh disamakan dengan jumlah sabitan kerana keputusan mahkamah bergantung pada fakta, keterangan dan pembuktian dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Peranan bermula dari rumah

Dalam menghadapi ancaman jenayah seksual dalam talian, Siti Kamsiah mengingatkan ibu bapa supaya tidak menganggap anak-anak berada dalam keadaan selamat hanya kerana mereka menghabiskan masa di rumah.

Sebaliknya, beliau berkata, aktiviti kanak-kanak di alam maya juga perlu diberikan perhatian kerana pelaku boleh mendekati mangsa tanpa memerlukan sebarang pertemuan secara fizikal.

“Kebanyakan ibu bapa melihat apabila anak tidak keluar rumah, itu bermakna anak mereka selamat.

“Sedangkan bentuk kawalan pada hari ini bukan lagi sekadar kawalan dari segi pergerakan fizikal. Ibu bapa perlu mengawal dari segi emosi dan minda anak-anak,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa perlu mengetahui individu yang berkomunikasi dengan anak-anak, memahami platform digital yang digunakan serta peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku mereka.

Pada masa sama, katanya, komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak amat penting bagi memastikan mereka berasa selamat untuk berkongsi masalah, termasuk apabila menerima mesej mencurigakan atau permintaan gambar daripada individu dalam talian.

Siti Kamsiah turut mengingatkan keluarga supaya tidak menarik balik laporan polis atau menghentikan kerjasama dengan pihak berkuasa semata-mata kerana individu yang disyaki terlibat merupakan kenalan atau ahli keluarga sendiri.

“Pada masa sama, keluarga tidak seharusnya menarik balik laporan atau menghentikan kerjasama dengan pihak berkuasa hanya kerana individu yang disyaki melakukan kesalahan ialah kenalan atau ahli keluarga.

“Jika mereka tidak tampil membuat laporan polis, mereka mungkin tidak membantu usaha untuk menghentikan jenayah tersebut daripada terus berlaku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!