X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin dan tetamu bergambar bersama penerima bantuan selepas Majlis Penyerahan Bantuan Ihsan dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 37 mangsa yang terlibat dalam insiden keretakan bangunan di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di sini, sudah menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali, semalam.

Mohamed Azmin sebelum ini berjanji memberi sumbangan kepada penduduk terbabit ketika pertemuan Isnin lalu.

“Saya telah berjanji untuk meringankan beban keluarga yang terpaksa berteduh di pusat pemindahan sementara dengan menyumbangkan RM500 kepada mangsa,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Ihsan dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Baik pulih pangsapuri retak perlu disegerakan

Mohamed Azmin berkata, pemaju Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui perunding yang dilantik telah melakukan siasatan ke atas bangunan itu.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memberitahu, hasil siasatan mendapati bangunan tersebut selamat untuk diduduki.

Menurutnya, punca utama keretakan disebabkan pemendapan struktur tangga blok yang sudah berusia 28 tahun.

“Keretakan tersebut akan dibaiki oleh PKNS dan kos baik pulih akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Kerja baik pulih sudah dilaksanakan,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua kerja-kerja berkenaan dapat disiapkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Beliau turut memuji kerjasama semua jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung membantu menyelamatkan dan melindungi penduduk Blok F pangsapuri itu.

“Antaranya Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang menjalankan tugas secara profesional dan bertanggungjawab dalam insiden ini,” katanya.

Pada 26 April lalu, seramai 222 penghuni membabitkan 37 keluarga di Blok F di Flat Taman Keramat Permai diarahkan berpindah susulan keretakan dinding kediaman berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!