Media perlu terus bebas lapor kepentingan awam - CMCF

SHAH ALAM - Media perlu terus bebas melaporkan perkara yang mempunyai kepentingan awam termasuk isu keselamatan, jenayah, kos kepada kerajaan atau kebimbangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, kebebasan itu akan menjadi lebih kuat apabila berita ditulis berdasarkan ketepatan fakta selain konteks dan pertimbangan editorial yang baik.
Menurutnya, bagaimanapun pengamal media perlu tahu membezakan antara melaporkan sesuatu masalah dengan menjadikan sesuatu komuniti itu sendiri sebagai masalah.

"Kalau perbuatan itu dilakukan oleh seorang individu, kita perlu berhati-hati supaya ia tidak digambarkan seolah-olah mewakili seluruh komuniti.
"Jika statistik digunakan pula, kita perlu pastikan skop dan sumbernya jelas. Kalau identiti seseorang disebut dalam tajuk, kita perlu bertanya sama ada identiti itu benar-benar relevan kepada cerita atau tidak.
"Ia perlu dilakukan dengan baik memandangkan cabaran hari ini jauh lebih besar, berita tidak lagi berhenti setelah ia diterbitkan tetapi akan dipotong, dikongsi semula, diberi kapsyen baharu, dimuat naik ke platform lain dan kemudian ditularkan untuk perdebatan orang ramai," ujarnya di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator program Sesi Meja Bulat CMCF Bersama Media dan Penerbitan.
Hadir sama CEO Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Sesi itu berjaya mengumpulkan wakil media, bilik berita, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Mengulas mengenai sesi tersebut, Mediha berpendapat, mereka yang hadir dapat melihat sendiri mengenai sesuatu isu boleh berubah hanya melalui tajuk, visual, kapsyen atau konteks yang dipilih.
Jelasnya, kadang-kadang faktanya betul tetapi cara ia disampaikan boleh membawa pembaca kepada kesimpulan yang jauh lebih besar daripada perkara sebenar disokong oleh bukti.
"Perkara yang saya hargai ialah perbincangan ini bukan tentang mencari siapa betul atau salah.
"Sebaliknya memberi ruang kepada pengamal media untuk melihat contoh sebenar, berkongsi pertimbangan editorial mereka dan memahami bagaimana keputusan yang nampak kecil sebenarnya boleh mempengaruhi persepsi masyarakat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

