Baik pulih pangsapuri retak perlu disegerakan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (depan enam, kanan) bergambar bersama penduduk pangsapuri Taman Keramat Permai pada Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Bencana dan Penutupan Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat hari ini.
Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar (depan enam, kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Datuk Abdul Hamid Hussain (depan lima, kanan). - Foto Bernama
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (depan enam, kanan) bergambar bersama penduduk pangsapuri Taman Keramat Permai pada Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Bencana dan Penutupan Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar (depan enam, kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Datuk Abdul Hamid Hussain (depan lima, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu supaya kerja-kerja membaik pulih Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai dapat dipercepatkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menegaskan pihak yang terlibat haruslah menjamin keselamatan penduduk di samping memastikan kualiti kerja pembaikan tidak akan terjejas.

"Kerja sudah bermula dan saya nyatakan tadi bahawa kita telah minta pihak yang terlibat untuk menyegerakan pembaikan ini sebelum hari raya akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai selamat

"Tetapi jangan berkompromi soal kualiti kerja dan keselamatan penduduk yang menduduki bangunan dan ini telah diberikan jaminan oleh pihak PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) bahawa kerja-kerja ini akan menjamin keselamatan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat dalam Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2 di sini hari ini.

Bangunan Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang dilaporkan retak dan penghuninya yang dipindahkan sejak 26 April lalu, kini boleh pulang ke rumah masing-masing setelah struktur bangunan mereka disahkan selamat menerusi hasil kajian dan siasatan sehingga 2 Mei lepas. Sementara itu, seorang penghuni Mohd Faysal Surifno Yusof, 45, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat pulang semula ke kediamannya itu bagi menyambut bulan Ramadan.

"Terima kasih kepada pihak yang membantu kami selama ini. Ada rasa risau juga sekiranya tidak sempat menyambut Ramadan di rumah, tetapi kita terpaksa sesuaikan diri dan saya reda dengan segala ketentuan serta ikut sahaja apa dimaklumkan pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, dua lagi penghuni, Hazlin Hayati Ahmad, 46, dan Zahari Abdul Rahman, 45, berharap supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Mereka juga bersetuju dan menyambut baik cadangan sekiranya kerajaan mahu melaksanakan pembangunan semula bangunan berkenaan setelah mengambil kira usia struktur bangunan itu yang menjangkau kira-kira 30 tahun. - Bernama