KXP: Sanusi dakwa PM enggan dengar penjelasan kerajaan negeri

Muhammad Sanusi (kiri) dan Anwar (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri) dan Anwar (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya mendengar taklimat berkaitan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) daripada kerajaan negeri, bukannya melalui pihak ketiga.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mendakwa, keengganan Anwar untuk bersemuka bagi membincangkan isu KXP menyebabkan beliau hanya memperoleh maklumat tidak tepat.

Dakwanya, tidak mustahil Anwar kemungkinan besar mendengar penerangan berkaitan KXP daripada pihak tertentu yang sememangnya diketahui menentang projek berkenaan.

“Masalah sebenar Perdana Menteri ialah beliau enggan mendengar penjelasan perkembangan projek itu daripada kerajaan negeri dan KXP Airportcity yang telah mengusahakan pembangunan projek sejak sembilan tahun lalu.

“Namun membuat kenyataan dan komen seolah-olah mengetahui semua berkaitan projek itu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Anwar menyangkal dakwaan kerajaan persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan KXP di Kedah.

Anwar berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian teliti sebelum boleh dilaksanakan kerana ia membabitkan beberapa aspek penting terutamanya keselamatan negara, selain perlu melalui prosedur dan peraturan tertentu.

Muhammad Sanusi sebaliknya menegaskan, semua perkara yang menjadi alasan kepada Perdana Menteri untuk mengelak kelulusan KXP sudah pun ditangani lebih awal.

“Perkara itu ditangani melalui beberapa siri sesi libat urus dan perundingan Jawatankuasa Teknikal KXP Airportcity (syarikat milik penuh kerajaan negeri) sebagai pemaju Kedah Aerotropolis dengan semua jabatan dan agensi berkaitan sejak sembilan tahun lalu.

"Laporan berkenaan juga telah beberapa kali disediakan dan dibentangkan oleh konsultan yang dilantik KXP Airportcity dan Unit Perancang Ekonomi (di Jabatan Perdana Menteri) sebelum ini,” jelasnya lagi.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal pembangunan Kedah Aerotropolis diketuai individu berpengalaman, yang mengetuai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) satu masa dulu iaitu Tan Sri Ir Dr Jamilus Husin.

“Dr Jamilus sangat memahami selok belok, keperluan dan kaedah membina dan mengendalikan projek itu.

"Beliau juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah KXP Airportcity dan diberi jolokan 'The Airport Man' dalam dunia pembangunan lapangan terbang,” ujarnya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, sudah ada pihak lain yang akan membiayai projek KXP, namun tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan.

“Tentang pembiayaan, tokoh korporat disebutkan Perdana Menteri kononnya tidak berhasrat membiayai projek itu juga sebetulnya tidak terbabit sebagai pemaju selepas gagal menjawab surat dikemukakan Jawatankuasa Kewangan dan Tender Kedah Aerotropolis.

"Beliau hanya salah satu daripada berpuluh-puluh syarikat yang mengemukakan proposal dalam RFP (Notis Cadangan Pelawaan) yang dilaksanakan.

"Walaupun beliau mohon untuk terbabit melalui kaedah RFP dan hadir dalam proses saringan, beliau gagal menjawab dalam tempoh ditetapkan, selepas Anwar 'beri bayangan' dalam pembentangan Belanjawan 2023. Beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah," jelas Muhammad Sanusi lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar sangkal dakwaan tidak mahu bina KXP

Sanusi dakwa batal projek KXP bermotifkan politik

PM digesa selesai isu pajakan Pulau Pinang, projek KXP

Projek KXP wajar diberi layanan, perhatian - Sultan Kedah

Hasrat bina KXP berubah bila Kedah ditadbir PN - Sanusi

KXP untuk keperluan kargo, bukan bersaing dengan LTAPP

Pembinaan KXP jadi tanda tanya

Sanusi mahu bertemu Anwar beri penerangan projek KXP

Kerajaan Kedah harap Projek KXP diluluskan