PM digesa selesai isu pajakan Pulau Pinang, projek KXP

Mardhiyyah Johari
Mardhiyyah Johari
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya mengaturkan perjumpaan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menyelesaikan isu nilai pajakan Pulau Pinang dan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Negeri Kedah, Mardhiyyah Johari berkata, perkara itu perlu diperbetulkan segera terutamanya apabila melibatkan konsep federalisme antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kedah.

Ujar Mardhiyyah, Muhammad Sanusi telah berkali-kali menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik serta isu saman antara beliau dengan Perdana Menteri adalah hal peribadi dan bersifat hubungan antara parti politik.

“Perkara ini tidak sepatutnya menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sehingga memangsakan rakyat dan masa depan Kedah.

"Perdana Menteri dilihat sangat terganggu dengan saingan politik yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

“Kegagalan PMX untuk memberikan fokus dalam melaksanakan fungsi Perdana Menteri serta Menteri Kewangan secara profesional adalah bukti yang nyata PMX hilang pertimbangan untuk membezakan antara seteru politik kepartian dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 24 Februari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim.

Sebaliknya Anwar berkata, kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

Pada 26 Februari, Muhammad Sanusi memaklumkan Kerajaan Kedah akan berusaha untuk membuat pembentangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di hadapan Perdana Menteri bagi merealisasikan projek berkenaan.

Ia berikutan beliau yakin Anwar belum mendapat gambaran penuh mengenai projek tersebut sehingga tidak mempertimbangkan rancangan projek itu dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini.

Dalam pada itu, ulas Mardhiyyah, Perdana Menteri perlu menyambut hasrat Sultan Kedah dan Menteri Besar Kedah dalam isu nilai pajakan Pulau Pinang dan projek KXP itu demi kepentingan masa depan negeri serta rakyat.