Wajibkan sijil halal rumah sembelihan

SHAH ALAM – Penguatkuasaan pusat penyembelihan ayam di seluruh negara perlu diperkasakan menerusi pemusatan undang-undang di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta penubuhan pasukan petugas khas bagi memastikan pematuhan syarak dan standard halal lebih terjamin.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah itu penting bagi mengatasi kelompongan dalam sistem pemantauan sedia ada yang melibatkan terlalu banyak jabatan sehingga menyukarkan penentuan pihak bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan.
Menurutnya, ketiadaan pemusatan kuasa menyebabkan tanggungjawab penguatkuasaan tidak diselaraskan dengan jelas, sekali gus membuka ruang kelemahan pemantauan premis penyembelihan.
“Berkenaan isu ayam ini, CAKE berharap kerajaan ambil iktibar di atas perkara ini. CAKE lihat ada beberapa perkara berlaku kelompongan iaitu tiada pemusatan kuasa dan tidak mewajibkan sijil halal ke atas premis penyembelihan.
“Justeru, Jakim dicadang memainkan peranan utama menerusi penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau pusat penyembelihan di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau turut mencadangkan supaya jabatan khas di bawah majlis agama Islam negeri ditubuhkan bagi memastikan pemantauan terhadap pusat penyembelihan dapat dilaksana lebih menyeluruh.
Mohamad Yusrizal berkata, setiap premis penyembelihan perlu diwajibkan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebelum beroperasi selain perlu berdaftar dan memperoleh pensijilan halal.
Katanya, kewajipan memiliki sijil halal penting bagi memastikan aspek penyembelihan bukan sahaja memenuhi tuntutan syarak, malah kebersihan dan keselamatan makanan turut terjamin menerusi konsep halalan tayyiban.
Menurutnya, pasukan petugas khas juga perlu menjalankan pemeriksaan berkala terhadap premis berdaftar bagi memastikan semua standard ditetapkan dipatuhi.
“Tindakan perlu dikenakan sekiranya premis tidak mematuhi standard ditetapkan, termasuk menutup pusat penyembelihan itu.
“Pemantauan sedia ada masih tidak mencukupi kerana CAKE melihat pusat penyembelihan tumbuh bagai cendawan berbanding 15 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan lebih ketat amat penting kerana ayam merupakan antara makanan asas pengguna yang perlu dipastikan status halal dan kebersihannya.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim turut berharap kerajaan memperkukuh undang-undang berkaitan halal serta memperketat penguatkuasaan bagi memastikan pemantauan rantaian bekalan makanan dilaksana menyeluruh.
Beliau melihat mekanisme pemantauan sedia ada masih belum mencukupi apabila pelbagai kes pelanggaran peraturan berkaitan halal dan haram terus berlaku.
Menurutnya, kelemahan itu menyebabkan tindakan hanya diambil selepas sesuatu kes terbongkar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan sedia ada.
Justeru katanya, kerajaan perlu mewujudkan peruntukan undang-undang lebih mantap bagi mengawal selia perkara berkaitan halal dan haram memandangkan kerangka perundangan sedia ada dilihat masih mempunyai kelompongan.
“Setakat ini undang-undang yang kita tahu mengawal perkara berkaitan halal dan haram ialah Akta Perihal Dagangan. Namun, melihat kepada pelbagai skandal yang berlaku, nampaknya undang-undang ini masih belum mencukupi.
“Apabila sesuatu kes berlaku, barulah semua pihak terkejut dan mula persoal siapa bertanggungjawab serta agensi mana sepatutnya mengambil tindakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

