Kerajaan Kedah harap Projek KXP diluluskan

Muhammad Sanusi (tengah) melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera selepas tamat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera selepas tamat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berharap Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) agar langkah susulan membangunkan projek mega itu dapat dilaksanakan dengan segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan itu antaranya akan membolehkan kerajaan negeri melakukan beberapa langkah seterusnya seperti pengambilalihan tanah sebagaimana termaktub dalam undang-undang.

Menurutnya, perkara itu antara langkah yang diharapkan daripada MOT selepas beberapa sesi libat urus yang dijalankan kedua-dua pihak sejak 10 tahun lalu.

"Adalah tidak benar untuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendakwa kita tidak pernah membuat permohonan. Libat urus mengenai projek KXP ini sudah dijalankan sejak 2013 lagi bersama pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan terkini pada Januari lalu.

"Saya nasihatkan Menteri Pengangkutan dapat merujuk perkara ini dengan pegawai yang berkenaan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri bagi menjayakan projek ini," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas selepas Melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera selepas tamat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, dekat sini.

Muhammad Sanusi berkata lagi, kerajaan Kedah juga berharap ada pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan gambaran sebenar pembangunan Kedah Aerotropolis dan KXP.

"Tanpa penerangan ini, maka ianya akan terus dilihat sebagai saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Saya bimbang beliau hanya mendapat penerangan sebelah pihak (Pulau Pinang) sahaja.

"Bukanlah menjadi persaingan kepada mana-mana pihak tetapi ia adalah saling melengkapi infrastruktur lapangan terbang yang kita ada di di negara ini khususnya negeri jiran," ujar beliau.

Terdahulu, semasa sesi penggulungan Sidang DUN Kedah, Muhammad Sanusi memperincikan kronologi projek Kedah Aerotropolis yang bermula pada 2013 membabitkan beberapa sesi libat urus melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan.

Kertas Cadangan Pembangunan Kedah Aerotropolis juga telah diserah kepada Perdana Menteri kesembilan oleh kerajaan negeri pada 23 November 2021.