Pembinaan KXP jadi tanda tanya

Lakaran cadangan pembinaan KXP dengan keluasan 1,700 hektar merangkumi kawasan Padang Serai di daerah Kulim dan Sidam di daerah Kuala Muda. - Foto Bernama
Lakaran cadangan pembinaan KXP dengan keluasan 1,700 hektar merangkumi kawasan Padang Serai di daerah Kulim dan Sidam di daerah Kuala Muda. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Rakyat Kedah khususnya yang menetap berdekatan kawasan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tertanya-tanya adakah projek itu diteruskan atau terbatal?

KXP yang merupakan nadi utama pembangunan Kedah Aerotropolis dikatakan akan dibina dengan keluasan 1,700 hektar merangkumi kawasan Padang Serai di daerah Kulim dan Sidam di daerah Kuala Muda.

Salah seorang pemilik tanah, Hasnah Nayan, 61, berkata, sebelum ini, ada pihak memaklumkan bahawa tanah kebun yang diusahakan keluarganya di Kampung Tanah Licin mungkin disenaraikan antara yang terlibat, namun tiada lagi sebarang maklum balas terkini yang diterima selepas itu.

Menurutnya, makluman telah dibuat kepada keluarganya kira-kira lima tahun lalu mengenai cadangan pengambilan tanah untuk tujuan tersebut.

"Sampai sekarang kita nak tahu juga sama ada jadi atau tak jadi?

"Sebab kebun kelapa sawit yang diusahakan telah mencapai usia matang serta perlu proses penanaman semula, sekiranya sah kawasan ini disenaraikan, kami akur.

"Cuma tak boleh lama sangat sebab pokok dah tua, kena tanam semula," katanya.

Hasnah menjelaskan kawasan tersebut agak pedalaman, berdepan kekangan jika mahu bangunkan rumah kediaman berikutan tiada akses kemudahan asas dan jaringan telekomunikasi serta bersetuju jika dibangunkan lapangan terbang di mana secara tidak langsung akan membangunkan kawasan persekitaran itu menjadi bandar yang lebih pesat.

Selain itu, Penduduk Kampung Kemumbung, Mohd Izzuddin Mohd Dali, 26, berkata, cadangan pembinaan KXP boleh dimanfaatkan generasi muda dengan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak Kedah.

"Kami tidak terlibat secara langsung tetapi perkampungan kami dikatakan berdekatan dengan tapak projek lapangan terbang yang diyakini turut akan membawa perubahan kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk setempat serta memberi manfaat kepada negeri dan negara," katanya.

Jelasnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 dengan memberi keutamaan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Subang adalah amat baik bagaimanapun beliau sepatutnya turut memberi perhatian kepada KXP yang merupakan projek mega yang telah lama Kedah idamkan.

Sementara itu, penghantar pesanan, Muhamad Hazwan Shuhari, 30, berkata, sebagai rakyat Kedah sudah pasti pembinaan KXP yang telah lama diumumkan itu amat dinantikan untuk direalisasikan.

"Ia dikatakan mampu meningkatkan ekonomi rakyat Kedah dan memanfaatkan kepakaran anak muda tempatan tanpa perlu berhijrah ke bandar kerana dikatakan menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Faizal Zailan, 42, berkata, tidak sepatutnya perbezaan politik dijadikan halangan untuk melaksanakan projek ini memandangkan KXP tidak menggunakan peruntukan kerajaan malah berasaskan Private Finance Initiative (PFI) berjumlah sekitar RM7 hingga RM8 bilion.

"Ia tidak melibatkan keseluruhan peruntukan kewangan dan bajet daripada kerajaan Persekutuan cuma lesen kebenaran diperlukan dan kalau lihat dulu, KXP turut mendapat perkenan Tuanku Sultan yang bertitah agar ia dilaksanakan segera semasa projek ini masih di peringkat awal cadangan pada 2018," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Firdaus Yusoff, 35, pula berpendapat kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan KXP.

"Jangan sebab dendam akibat Kerajaan Perpaduan kalah teruk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, rakyat Kedah jadi mangsa, bagaimanapun kawasan Sidam yang berada bawah Parlimen Sungai Petani merupakan satu-satunya kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) Kedah, menjadi satu kerugian jika ia dibatalkan,"katanya.

Difahamkan, pembinaan KXP bakal merancakkan fungsi utama Kedah Aerotropolis di mana projek lapangan terbang itu dicadangkan bekas menteri besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi tujuan pengangkutan dual-hub kargo selain dijangka mampu mengendalikan 15 juta penumpang setiap tahun.

Cadangan Kedah Aerotropolis merangkumi perkhidmatan logistik, aeroangkasa dan Hub Pembuatan Sidam (SLAM) selain pusat penyelenggaraan dan pembaikian pesawat di rantau Asia.