Sanusi dakwa batal projek KXP bermotifkan politik

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pembatalan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang merupakan sebahagian komponen Kedah Aerotropolis adalah bermotifkan politik.

Beliau berkata, perbezaan politik menjadi halangan untuk Kedah merealisasikan hasrat tersebut disebabkan oleh kepentingan politik pihak tertentu.

Menurutnya, biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran sejak projek mega itu diumumkan pada 2013, usaha untuk menjayakan KXP tidak pernah terhenti.

“Semua orang tahulah, ini semua kepentingan politik kerana dia (Perdana Menteri) ada kepentingan di Pulau Pinang dan Selangor, sebab itu umum untuk lapangan terbang di Bayan Lepas dan Subang. Itu kan negeri ditadbir mereka, kita negeri lain, parti lain, jadi tak diberi mukalah.

“Saya tak pernah berhenti dan akan lakukan apa yang terdaya untuk realisasikan projek KXP,” katanya di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan Persekutuan untuk meneruskan fasa awal pembinaan KXP, setelah Kedah Aerotropolis giat dibangunkan.

“Kita bawa kepentingan negeri. Kalau ada pihak halang, ia adalah kepentingan peribadi dan harus diketepikan. Kalau tidak ada kepentingan peribadi, lepaslah (luluskan) projek itu.

“Apa-apa yang boleh dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan itu diharap dapat mudahkan proses, saya hanya tunggu kelulusan Persekutuan,” ujarnya.

Pada Ahad, sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, KXP perlu diberi layanan serta perhatian adil dan sewajarnya oleh pihak-pihak terlibat agar dapat direalisasikan demi kebaikan negeri, negara serta rakyat.

Baginda percaya adalah mustahak untuk Kedah memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan serta mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang makin pesat.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berharap tidak ada pihak yang ingkar kepada titah Sultan Kedah.

"Janganlah kita menjunjung titah apabila sebulu (sehaluan) dengan kita, bila tak sebulu (sehaluan) kita ingkar. Sedangkan kita berikrar taat setia kepada raja dan negara, itu sebahagian daripada Rukun Negara,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasukkan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dalam belanjawan berbanding membangunkan hab baharu.

Ilustrasi KXP yang menjadi sebahagian daripada komponen Kedah Aerotropolis.
Ilustrasi KXP yang menjadi sebahagian daripada komponen Kedah Aerotropolis.

“Dulu masa mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) suruh tunggu Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) sebab semua projek lapangan terbang kena tunggu NASP siap.

“Tapi sebelum NASP dijalankan, dia (Anwar) umum dua lapangan terbang itu. Pasal apa boleh umum sebelum NASP dilaksanakan?

"Boleh pula, disebut dalam belanjawan lagi. Jadi saya kata ada benda yang tak betul. Kenapa yang itu boleh dikecualikan daripada NASP, kenapa KXP tidak?” soalnya.

Menurutnya lagi, sehubungan itu beliau mohon diberikan kelulusan interim sementara menunggu NASP disiapkan memandangkan data yang diperlukan untuk NASP sudah tersedia.

“Kita dah buat sebelum ini kerana untuk buat kajian kebolehlaksanaan KXP, kita sudah dapatkan data dari pelbagai kajian dan serahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mereka gunakan dalam NASP,” katanya.

Muhammad Sanusi tegaskan, KXP penting untuk dibangunkan di Kedah bagi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, sekali gus memperoleh bayaran peningkatan hasil daripada Persekutuan.

“Sebab itu KXP penting sebagai hab untuk kita eksport barang kita, barulah KDNK dicatat masuk dalam negeri kita.

"Setiap tahun, kerajaan negeri akan dibayar peningkatan hasil dalam negeri mengikut ‘portion’ oleh Pusat. Bila tak dimasukkan dalam Kedah, dibayar kepada negeri lain sedangkan hasil itu produk Kedah,” jelasnya.