Projek KXP wajar diberi layanan, perhatian - Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat ke Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-81di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, pada Ahad.
Sultan Sallehuddin bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat ke Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-81di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian Kedah Aerotropolis perlu diberi layanan dan perhatian adil dan sewajarnya pihak-pihak terlibat agar ia dapat direalisasikan demi kebaikan negeri, negara serta rakyat.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, baginda percaya terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri bagi terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang makin pesat.

Baginda berpandangan, kapasiti semasa jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri pasti tidak akan mencukupi apabila pengeluaran dalam negeri dan wilayah bertambah.

"Justeru, adalah amat mustahak bagi Kedah untuk memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memudahkan pergerakan keluar masuk barangan dan eksport ke luar negeri.

"Perancangan pembangunan KXP dalam kerangka pembangunan Kedah Aerotropolis akan memenuhi kehendak tersebut dan bertindak sebagai 'game changer' yang akan mengubah landskap ekonomi ke tahap yang lebih ampuh," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah sedemikian sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini, pada Ahad.

Beta berpendapat hasrat ini akan dapat disegerakan sekiranya kerajaan Kedah dan Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dan pucuk pimpinan mampu mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan.

"Amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan sehingga membelakangkan keperluan negeri dan negara yang jauh lebih mustahak," titah Sultan Sallehuddin lagi.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin berkenan mewujudkan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) demi membantu meringankan beban rakyat golongan miskin,sekaligus mengimbangi pengagihan ekonomi lebih adil dan saksama.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda bercita-cita menjadikan tabung amanah itu sebagai sebuah wadah untuk semua pihak bersama-sama berganding bahu, berbakti dan berbudi kepada golongan yang memerlukan.

Titah baginda, ekonomi rakyat jelata khususnya melibatkan kelompok miskin perlu diberi perhatian bagi mewujudkan sebuah negeri memiliki agihan ekonomi adil dan saksama.

"Purata pendapatan isi rumah bagi penduduk di daerah Baling, Pendang, Padang Terap dan Yan masih berada pada tahap rendah dan belum mencecah purata melebihi RM4,800.

"Purata pendapatan isi rumah bagi Kedah adalah berjumlah RM5,522, jika dibandingkan dengan nasional yang jauh lebih tinggi pada purata RM7,901," titah baginda.