KXP untuk keperluan kargo, bukan bersaing dengan LTAPP

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Perancangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) adalah bagi memenuhi keperluan permintaan kargo yang semakin meningkat di wilayah utara, bukannya untuk bersaing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, itulah asas di sebalik perancangan membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Sidam Kiri, Kedah yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Kedah Aerotropolis bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, sejak awal perancangan bermula 2014, KXP bertujuan memenuhi permintaan industri pembuatan untuk perkhidmatan kargo, bukannya perkhidmatan penumpang kerana LTAPP dapat memenuhi keperluan tersebut.

“Sesuai dengan fokus LTAPP kepada perkhidmatan penumpang, pembangunan teknologi seperti penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan (RD&D) perlu diteruskan di Pulau Pinang, sementara industri pembuatan yang memerlukan tanah lebih luas dibangunkan di Kedah.

“Oleh sebab itu, perancangan membangunkan Kedah Aerotropolis amat bertepatan, merangkumi tiga komponen utama, iaitu Airport City, Business Park dan Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) Hub,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata, KXP bukannya projek ‘mat jenin’ tanpa asas, sebaliknya untuk memenuhi permintaan yang meningkat, selain menarik kembali pelaburan untuk wilayah utara yang sedikit terjejas susulan pertambahan kos pengangkutan.

“Kajian terdahulu menunjukkan terminal penumpang sedia ada LTAPP melebihi kapasiti reka bentuk. Kajian juga menunjukkan industri sekitar Pulau Pinang dan Kedah dalam industri import eksport komponen elektronik seperti semikonduktor memerlukan perkhidmatan penerbangan kargo dari LTAPP.

“Banyak kilang seumpama di zon industri Bayan Lepas gunakan perkhidmatan pesawat kargo LTAPP, namun sejak kebelakangan ini, jumlah pesawat kargo yang menggunakan LTAPP berkurangan,” katanya.

Menurutnya lagi, jumlah muatan kargo yang menggunakan LTAPP pada 2006 sebanyak 226,000 tan, menyusut kepada 138,000 tan pada 2020, sedangkan kapasiti kargo di LTAPP adalah 360,000 tan setahun.

“Industri yang menggunakan LTAPP sebagai hab logistik kini terpaksa mengangkut kontena menggunakan lebuh raya dari utara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana kos lebih kompetitif.

“Ada yang mengangkut kontena melalui jalan darat dari utara hingga Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, kerana caj lebih kompetitif. Pulau Pinang, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) serta taman industri wilayah utara kini tidak lagi mempunyai daya tarikan kerana pengurangan perkhidmatan penerbangan untuk kargo,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu memberitahu, perancangan empat fasa KXP melibatkan tanah seluas 5,114 ekar merangkumi dua landasan berbanding LTAPP yang hanya mempunyai satu landasan.

“Selain terminal kargo untuk kendalikan pergerakan kontena dan kargo dari pesawat, perkhidmatan penguatkuasaan seperti kastam turut ditempatkan untuk mudahkan urusan import eksport.

“Business Park yang bergantung kepada perkhidmatan penerbangan ditempatkan bersebelahan KXP. Kawasan tanah yang mempunyai akses landasan penerbangan juga disediakan untuk industri overhaul, pembaikan, dan penyelenggaraan (MRO) pesawat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Utara (NCIA) akan menguruskan pembangunan perkhidmatan MRO melalui SLAM merangkumi Kedah Aerotropolis.

“Kedah Aerotropolis mampu menjadi pencetus pembangunan ekonomi negeri utara Semenanjung termasuk Selatan Thailand dan berdaya maju sebagai sebuah perniagaan. KXP pula mampu menjadi ‘Memphis of Asia’,” katanya.

Mukhriz percaya banyak syarikat swasta berminat menjadi sebahagian daripada Kedah Aerotropolis sekiranya mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya kerajaan Persekutuan tiada bajet bangunkan Kedah Aerotropolis, pembiayaan itu boleh diserahkan kepada swasta. Yang diperlukan hanyalah keazaman politik dan keinginan rancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah utara.

“Projek ini merupakan penyelesaian kepada kesempitan kapasiti Pulau Pinang selain memajukan negeri-negeri utara lain, terutamanya Kedah,” katanya lagi.

Mukhriz jelaskan, pelan induk Kedah Aerotropolis telah lama siap dan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun lepas.

“Saya kecewa dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengatakan permohonan mengenai KXP tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan atau kementeriannya.

“Tidak benar dakwaan kerajaan tidak terima sebarang cadangan untuk projek ini. Mengapa kerajaan Persekutuan tidak pertimbangkan secara serius? Apakah ada agenda beri keutamaan kepada Pulau Pinang, bukan Kedah?” soalnya.