Tujuh ulat parkir ditahan polis

Polis menahan lelaki yang menjadi ulat parkir dalam operasi khas yang dijalankan sekitar bandar raya Ipoh. - Foto: Ihsan PDRM
Polis menahan lelaki yang menjadi ulat parkir dalam operasi khas yang dijalankan sekitar bandar raya Ipoh. - Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

IPOH - Tujuh lelaki yang menjadi ulat parkir di sekitar bandar raya Ipoh ditahan polis dalam operasi khas yang diadakan selama dua hari sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kesemua individu yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 40 hingga 66 tahun.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Pekan Bahru telah menjalankan operasi khas terhadap penjaga tempat parkir haram.

"Tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (gangguan dan desakan menyalahi undang-undang)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Polis menjalankan operasi khas membanteras kegiatan penjaga parkir haram di sekitar bandar raya Ipoh. - Foto: Ihsan PDRM
Polis menjalankan operasi khas membanteras kegiatan penjaga parkir haram di sekitar bandar raya Ipoh. - Foto: Ihsan PDRM

Menurut beliau, kegiatan di kawasan tumpuan pelancongan itu telah mendatangkan gangguan kepada orang awam.

"IPD Ipoh telah menjalankan operasi secara berterusan dan berjaya menghasilkan 42 tangkapan bagi tempoh kajian bermula 1 Januari lalu.

"Terima kasih diucapkan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat hingga polis berjaya memberkas penjaga parkir haram ini," katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi sebarang bayaran dan boleh mendapatkan bantuan polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222.