Kemeja unik hasil seni 10 murid

Muhamad Fazri memakai kameja dihiasi karya seni dari murid kelas pendidikan khas SK Gas, Sandakan.
Muhamad Fazri memakai kameja dihiasi karya seni dari murid kelas pendidikan khas SK Gas, Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Seorang guru di era ini perlu sentiasa memperbaharui kemahiran mereka. Mereka perlu lebih kreatif selari dengan pengajaran serta pembelajaran abad ke-21.

Ini dibuktikan seorang guru apabila bijak menggunakan baju kemeja sebagai medium utama bagi menggantikan kain kanvas bagi projek unsur seni.

Muhammad Fazri Hassan, 26, juga memakai kemeja bercorak hasil seni 10 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gas itu, di sini, sekali gus mencuri perhatian warga net di media sosial.

No Image Caption

Manakan tidak, lukisan comel seperti pelangi, hati, matahari dan orang lidi dilakarkan hasil kreativiti murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Bahasa Melayu, sekolah tersebut.

Beliau berjaya menarik perhatian murid-muridnya dengan meminta mereka mengimplementasikan bakat seni pada sehelai kemeja putih.

Setiap muridnya begitu teruja untuk melukis karya pada sehelai kemeja berdasarkan unsur seni dipelajarinya seperti garisan, bentuk, rupa, warna dan ruang jalinan.

"Saya terfikir untuk lukis di kemeja kerana cara itu unik, jadi saya minta murid untuk pilih tiga jenis karya yang telah mereka hasilkan sebelum ini untuk dilukis semula pada kemeja tersebut. "Mereka memang teruja ketika tunggu giliran untuk lukis semula corak mereka," katanya baharu setahun mengajar di sekolah itu apabila tamat pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu pada November 2017.

Artikel Berkaitan:

Dek kecomelan karya seni itu yang kelihatan cukup unik dan menarik, para guru sempat merakam gambar dan dimuat naik di Twitter hingga tular di media sosial.

No Image Caption

"Saya tak sangka langsung benda ini boleh viral, niat saya buat ini pun sebab nak pastikan karya anak murid pendidikan khas saya itu dihargai oleh warga sekolah.

"Sebab itu saya nekad juga nak pakai dan jalankan rutin harian di sekolah guna baju itu seperti biasa. Alhamdulillah tidak sangka dapat sambutan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang berasal dari Sandakan turut mengakui tanggungjawab mendidik murid pendidikan khas bukan satu tugas mudah kerana perlu kesabaran yang tinggi.

"Mengajar murid pendidikan khas sebenarnya kena lebih banyak proaktif. Contohnya buat aktiviti-aktiviti yang menarik, sering buat lawatan dan aktiviti berbentuk terap.

"Guru juga perlu lebih kreatif dalam pembelajaran. Ini kerana saya ada seorang murid yang jujur beritahu sama ada saya mengajar bosan atau tidak," katanya berseloroh.

Penularan gambar itu nyata menarik perhatian netizen yang beranggapan tugas guru bukan sekadar mendidik sebaliknya melahirkan insan yang mampu berdikari mengikut acuannya tersendiri.