Aktiviti pelancongan dan ekonomi di Teluk Intan semakin rancak

A
A
A

Pulau Bangau menjadi salah satu tarikan utama aktiviti pelancongan di Teluk Intan.
Pulau Bangau menjadi salah satu tarikan utama aktiviti pelancongan di Teluk Intan.

TELUK INTAN - Perkembangan menggalakkan aktiviti pelancongan di pesisiran Sungai Perak merancakkan ekonomi di bandar Teluk Intan.

Perkhidmatan bot pelancongan ke Pulau Bangau antara yang menarik perhatian pelancong ke bandar itu selain keunikan bangunan ikonik, Menara Condong Teluk Intan yang dibina pada tahun 1885.

Bagi operator pelancongan, Muhammad Sahril Mustafa, 35, kerancakan bermula sejak kerajaan negeri Perak menaik taraf kemudahan awam seperti jeti, dataran dan surau di Jalan Wah Keng Joi Pekan Teluk Intan pada tahun 2021.

Menurutnya, dengan wujudnya kemudahan berkenaan, pelancong berasa lebih selesa malah kehadiran orang ramai semakin bertambah untuk ke Pulau Bangau.

"Fasiliti pelancongan yang disediakan oleh kerajaan negeri Perak ini beri impak positif kepada Teluk Intan. Kemudahan penginapan semakin banyak, sewaan bot memancing bertambah, kedai makan juga ramai pelanggan.

"Bukan sahaja kami pengusaha pelancongan ini dapat manfaat tetapi ramai sebenarnya. Jadi, usaha kerajaan negeri Perak menaik taraf kemudahan tersebut tidak sia-sia," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jeti Pulau Bangau di sini.

Muhammad Sahril dalam pada itu mengakui bantuan enjin bot bernilai RM60,000 daripada SME Corp diterimanya turut membantu meningkatkan operasi perkhidmatan pelancongan yang diusahakan iaitu River Cruise Teluk Intan sejak tahun 2018.

No Image Caption

Menurutnya, kehadiran pelancong bukan sahaja dari dalam negara tetapi turut melibatkan warganegara seperti Jamaica, Singapura, Jerman, Australia dan sebagainya manakala pengunjung tempatan pula kebanyakannya mereka dari kawasan bandar yang datang untuk melihat keindahan alam semula jadi.

"Kebanyakan pelancong yang ditemui kagum dan teruja dengan suasana baharu di Bandar Teluk Intan. Jika dahulu hanya ada Menara Condong, kini kehadiran mereka di sini dipenuhi pelbagai aktiviti.

"Pelancong tempatan yang ke sini kebanyakannya dari Selangor dan Kuala Lumpur. Waktu paling ramai ketika cuti sekolah, hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Jelasnya, ketika ini terdapat sebanyak lima buah bot dengan tiga daripadanya merupakan bot baharu termasuk satu bot besar yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang penumpang dalam satu-satu masa.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kerajaan negeri akan terus memberi bantuan dan galakan kepada pengusaha pelancongan kerana pelaburan yang dibuat dalam sektor tersebut memberi pulangan besar kepada rakyat setempat.