NAFAS terus bekal baja subsidi kepada petani

Mohamad (kiri) ketika melakukan Lawatan Kerja ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun, Kedah pada Isnin.
Mohamad (kiri) ketika melakukan Lawatan Kerja ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun, Kedah pada Isnin.
A
A
A
GURUN - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berupaya meneruskan operasi kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) bagi membekalkan baja subsidi kepada petani ke seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kilang yang beroperasi sejak 2004 itu diyakini mampu terus melaksanakan fungsinya dalam memastikan bekalan baja mencukupi dengan kapasiti pengeluaran mencecah 360,000 metrik tan setahun.

Menurutnya, skim pembekalan baja subsidi merupakan program kerajaan bagi mengurangkan kos pengeluaran padi di samping meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

"Berhubung kontrak (pembekalan baja), kita akan terus bincang... dan saya tak berani kata 100 peratus tetapi NAFAS ialah satu badan yang ditubuhkan kerajaan, sudah tentu mahu NAFAS terus bernafas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Kilang MNFSB di sini dan Pelancaran Baja Mineral Silikon Perapi Tanah-Silgrow Plus pada Isnin.

Mohamad (tengah) ketika melakukan Lawatan Kerja ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun, Kedah pada Isnin.
Mohamad (tengah) ketika melakukan Lawatan Kerja ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun, Kedah pada Isnin.

Jelasnya, buat masa ini, beliau yakin dengan jaminan yang diberi NAFAS bahawa pengeluaran baja setakat ini mencukupi untuk dibekalkan ke seluruh negara mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan.

Menurutnya, MNFSB yang merupakan syarikat usahasama NAFAS dan Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn Bhd berfungsi dalam proses pembuatan baja, pengilangan dan pengagihan bekalan baja melalui rantaian pembekalan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Petani tidak perlu rasa risau, cuma macam biasa kena daftar awal takut kelewatan kerana masalah teknikal dan sebagainya," katanya.

Jelas Mohamad, walaupun dalam keadaan perbezaan ekonomi yang berlaku di seluruh negara dan dunia, Nafas masih dapat mengagihkan dividen sebanyak lapan peratus kepada ahlinya.

Antara Lawatan Kerja dilakukan Mohamad ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun Kedah dan Pelancaran Baja Mineral Silikon Perapi Tanah-Silgrow Plus.
Antara Lawatan Kerja dilakukan Mohamad ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd di Gurun Kedah dan Pelancaran Baja Mineral Silikon Perapi Tanah-Silgrow Plus.

"Kita ucap tahniah...kerana dalam suasana sukar dapat juga beri dividen kepada mereka yang melabur,"katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, NAFAS memperkenalkan produk baja baharu dikenali Silgrow Plus, iaitu baja mineral silikon yang berfungsi sebagai perapi tanah.

Produk yang diperbuat daripada sumber mineral semulajadi serta diperkaya dengan pelbagai elemen penting itu bertujuan meningkatkan kesuburan tanah seperti Silika dan Kalsium, meneutralkan pH serta keupayaan tanah untuk memegang nutrien apabila pembajaan dilakukan.