Isu parkir HRPB: Lanjut tangguh saman setahun lagi

Kelonggaran tidak mengenakan saman kepada pesakit dan pelawat HRPB yang meletakkan kenderaan di tepi jalan dilanjutkan untuk tempoh satu tahun lagi.
Kelonggaran tidak mengenakan saman kepada pesakit dan pelawat HRPB yang meletakkan kenderaan di tepi jalan dilanjutkan untuk tempoh satu tahun lagi.
A
A
A

IPOH - Langkah tidak mengenakan saman kepada pesakit dan pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini yang meletakkan kenderaan di tepi jalan dilanjutkan untuk tempoh satu tahun lagi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, lanjutan tempoh itu mengambil kira isu kekurangan parkir yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Menurutnya, sebelum ini polis telah memberi kelonggaran tidak mengenakan saman untuk tempoh beberapa bulan sahaja sehingga Mei lalu.

"Masih sama (tiada saman) kerana kita dapati setakat ini, tidak ada lagi kes kemalangan berlaku dan sebagainya disebabkan perkara itu (letak kenderaan).

"Orang ramai pun beri maklum balas yang baik dan berterima kasih dengan kelonggaran diberikan dan kerana itu kita akan teruskan untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Polis Perak sebelum ini menangguhkan sementara tindakan menyaman kenderaan di kawasan itu sehingga Mei itu berikutan keperluan petak parkir yang tidak mencukupi selain pembinaan parkir baharu yang masih dalam proses.

Sepanjang tempoh itu, orang ramai diberi kelonggaran meletakkan kenderaan masing-masing di luar kawasan hospital dengan syarat tidak diletakkan secara parkir berganda dan tidak menghalang lalu lintas pengguna lain terutama ambulans.

Sementara itu, Sivanesan berkata, pembinaan tempat letak kenderaan di hadapan Klinik Kesihatan Greentown telah siap pada 16 Jun lalu dengan kemudahan 170 lot parkir.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak juga telah meluluskan peruntukan tambahan RM35,000 bagi tujuan naik taraf tempat letak kereta sedia ada di dalam kawasan klinik sebagai tambahan 40 lot parkir baharu.

"Projek ini dijangka siap pada September depan.

"Keadaan ini membolehkan lebih banyak tempat letak kenderaan dapat disediakan bagi kegunaan staf dan kakitangan klinik serta orang awam yang mendapatkan rawatan di klinik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Perak terima cadangan bina kompleks parkir bertingkat di hospital