Perak terima cadangan bina kompleks parkir bertingkat di hospital

Sebuah kompleks parkir bertingkat akan dibina bagi mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan di HRPB.
Sebuah kompleks parkir bertingkat akan dibina bagi mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan di HRPB.
A
A
A

IPOH - Sebuah kompleks parkir bertingkat akan dibina bagi mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini seawalnya tahun depan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, cadangan itu telah diterima daripada sebuah syarikat dari China April lalu.

Menurutnya, daripada perbincangan awal dilakukan, syarikat tersebut bersedia menanggung sepenuhnya kos pembinaan tanpa menggunakan sebarang peruntukan kerajaan negeri.

"Kita sedang menunggu kertas kerja daripada syarikat berkenaan, selepas itu baru cadangan ini dibentangkan ke Mesyuarat Exco dan seterusnya peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jika semuanya berjalan lancar, kita harap projek pembangunan ini dapat dimulakan tahun depan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Menteri Besar Perak menyambut baik cadangan tersebut sebagai langkah jangka masa panjang menyelesaikan masalah parkir yang berlarutan lebih 30 tahun lalu.

Katanya, pembinaan kompleks parkir bertingkat di HRPB itu kemudiannya boleh dijadikan contoh bagi hospital lain seperti Hospital Taiping yang berdepan masalah sama.

"Dalam projek ini kerajaan negeri tidak akan rugi apa-apa kerana semuanya ditanggung oleh syarikat, kita hanya perlu menyediakan tapak sahaja," katanya.

Isu kekurangan parkir di HRPB telah menyebabkan orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama luar hospital.

Keadaan itu bukan sahaja mengundang risiko keselamatan jalan raya, tetapi ramai merungut apabila dikenakan saman polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).