Sultan Johor berkenan serah tanah Bukit Chagar tanpa sebarang kos

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kecewa atas laporan berita mengaitkan isu peningkatan kos

projek Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) dengan sebidang tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar di sini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata, sehingga ke hari ini, baginda Tuanku tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah miliknya yang akan terlibat untuk projek tersebut.

“Namun begitu, DYMM Sultan Johor telah bertitah bahawa sekiranya benar tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar terlibat untuk projek RTS, baginda Tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

“Dengan syarat projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana baginda Tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook rasmi Sultan Johor di sini hari ini.

Jaba berkata, sebagaimana yang sering ditegaskan, kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan baginda Tuanku dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuntut semula tanah RTS jika telah dipindah milik

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menuntut semula tanah yang digunakan untuk pembinaan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, sekiranya benar ia telah dipindah milik kepada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, sesiapa sahaja yang ingin membuat pengambilan tanah, perlu melalui proses sedia ada.

“Ya...kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan oleh mana-mana pihak, mereka mestilah melalui proses sedia ada, apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa pun,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan satu daripada lima plot tanah untuk projek RTS dipindah milik kepada Sultan Johor, ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ditanya sama ada tanah itu dibeli oleh baginda, beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mendapat sebarang laporan penuh mengenai perkara itu.

“Kita (kerajaan) dengar khabar-khabar angin daripada press (media) bahawa tanah ini telah diambil alih oleh Sultan Johor. Tentang bayaran kita tidak tahu,” katanya.

Kerajaan pada awal bulan April lepas memohon pelanjutan enam bulan sehingga September daripada Singapura, untuk membuat keputusan mengenai projek RTS.

Perjanjian dua hala mengenai projek itu ditandatangani pada Januari 2018 semasa pentadbiran BN sebelum ini.