Tuntut semula tanah RTS jika telah dipindah milik

Tun Dr Mahathir (duduk, tengah) yang juga Pengerusi PH semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir (duduk, tengah) yang juga Pengerusi PH semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menuntut semula tanah yang digunakan untuk pembinaan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, sekiranya benar ia telah dipindah milik kepada mana-mana pihak.

Perdana Menteri berkata sesiapa sahaja yang ingin membuat pengambilan tanah, perlu melalui proses sedia ada.

“Ya...kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan oleh mana-mana pihak, mereka mestilah melalui proses sedia ada, apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa pun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan satu daripada lima plot tanah untuk projek RTS dipindah milik kepada Sultan Johor, ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Ditanya sama ada tanah itu dibeli oleh baginda, beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mendapat sebarang laporan penuh mengenai perkara itu.

“Kita (kerajaan) dengar khabar-khabar angin daripada press (media) bahawa tanah ini telah diambil alih oleh Sultan Johor. Tentang bayaran kita tidak tahu,” katanya.

Kerajaan pada awal bulan April lepas memohon pelanjutan enam bulan sehingga September daripada Singapura, untuk membuat keputusan mengenai projek RTS.

Perjanjian dua hala mengenai projek itu ditandatangani pada Januari 2018 semasa pentadbiran BN sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Projek itu pada awalnya dijadualkan dibina tahun ini, dan dijangka siap pada Disember 2024.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia membeli semula tanah itu daripada Sultan Johor, Dr Mahathir menjawab: “Jika dia (Sultan Johor) telah bayar, tentu sekali kita perlu beli balik, tetapi jika dia belum bayar, kita tidak beli semula ... itu tanah kita. Kita perlukan tanah itu untuk tujuan membina bangunan tertentu yang perlu,” katanya.

Perdana Menteri juga menolak tanggapan bahawa isu tersebut akan mengeruhkan lagi hubungan antara kerajaan persekutuan dan istana Johor.

“Tidak ada ketegangan, ketegangan apa?”, katanya.

Kepada persoalan sama ada pelanjutan tempoh enam bulan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan pemilikan tanah oleh Sultan Johor, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak fikir tuanku nak rampas tanah persekutuan. Kita nak buat tuntutan, kita nak tunjukkan sebenarnya (tanah) itu kita punya”.

Terdahulu Dr Mahathir menjelaskan kerajaan bersetuju untuk pelanjutan tempoh enam bulan bagi mengkaji semula sama ada projek RTS itu akan diteruskan, atau kerajaan mengemukakan cadangan lain.

"Tetapi yang jelas RTS tidak selesaikan masalah trafik dihadapi antara Singapura dengan Malaysia. Jika kita bina kereta api itu, ia tidak boleh membawa kesemua penumpang yang melalui dari, dan ke Singapura, dan tidak dapat membawa kesemua motosikal, kereta api ini terhad dalam kapasitinya,” katanya.

Projek Rangkaian RTS jika dilaksanakan akan meliputi laluan rel sepanjang 4 km menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura, dengan kapasiti membawa 10,000 penumpang sejam.- Bernama