Hanya 3,000 wanita di Selangor carum SKSSR

Dr Dzulkefly (kiri) bersama Ismail Abi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan dan faedah Perkeso kepada Muhamad Daniel yang terlantar di Kampung Parit Mahang di sini pada Rabu.
Dr Dzulkefly (kiri) bersama Ismail Abi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan dan faedah Perkeso kepada Muhamad Daniel yang terlantar di Kampung Parit Mahang di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor mengesan hanya 3,000 wanita berusia bawah 55 tahun di negeri ini mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sejak dilaksanakan hujung tahun lalu.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, jumlah itu dianggap masih rendah berbanding sasaran 80,000 wanita mencarum skim khas berkenaan pada tahun ini.

"Mungkin keadaan ini berpunca berdasarkan faktor kesedaran dan pengetahuan rendah mengenai faedah caruman SKSSR," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bayaran faedah Perkeso kepada seorang mangsa kemalangan di Kampung Parit Mahang di sini pada Rabu.

Bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUP) dan Elaun Layan Sentiasa (ELS) itu diserahkan kepada Muhamad Daniel Musa, 22, yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada Mei 2021.

Beliau memberitahu, kadar caruman berjumlah hanya RM120 setahun itu terbuka kepada semua wanita dengan pelbagai faedah perubatan, tanggungan dan khairat kematian.

Ismail Abi menjelaskan, seramai tiga pencarum melibatkan kematian sudah menerima faedah menerusi caruman itu pada tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, Perkeso akan mempergiatkan lagi usaha dengan pelbagai kempen bagi menambah jumlah pencarum wanita.

"Kita amat menggalakkan golongan wanita menyertai caruman ini demi kebajikan dan masa depan mereka jika ditimpa musibah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang turut hadir pada majlis penyerahan itu berkata, Perkeso diharap dapat membantu Muhamad Daniel yang lumpuh di bawah dada dan kaki.

"Kita berharap penerima (Muhammad Daniel) dapat diuruskan dari segi peluang pekerjaan supaya dia dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik di samping dapat menjana pendapatan," tambahnya.