Perkukuh kedudukan fiskal antara tumpuan kerajaan - JPM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi tumpuan kepada tiga isu utama dalam memastikan ekonomi negara kekal mampan iaitu memperkukuh kedudukan fiskal, mereformasi struktur ekonomi dan meneliti pelaksanaan gaji progresif, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara pada Selasa, JPM berkata, keutamaan akan diberikan untuk memperkukuh kedudukan fiskal melalui peningkatan hasil dan melonjakkan pertumbuhan sektor "pertumbuhan tinggi nilai tinggi” serta memastikan kelestarian alam sekitar.

"Penekanan akan diberi untuk mempercepat pertumbuhan dalam sektor strategik yang akan turut menjana pelaburan dalam industri elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri kreatif, pelancongan, halal, biojisim, aktiviti pertanian pintar dan tenaga boleh baharu," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu tiga masalah ekonomi paling serius yang Malaysia hadapi serta strategi serta merta, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk mengatasinya.

Menurut JPM, kerajaan juga terus memberi tumpuan untuk memantapkan ekonomi domestik dengan sektor swasta terus dipacu sebagai rakan pembangunan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi.

"Bagi menggalakkan pelaburan swasta, kerajaan sentiasa menawarkan insentif kepada pelabur berpotensi, termasuk menstruktur semula insentif pelaburan ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil.

"Pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dipercepat melalui penerimagunaan teknologi dan pendigitalan. Tumpuan juga diberi untuk PMKS beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global dan memanfaatkan gerakan koperasi dalam pembangunan usahawan," kata JPM.

Dalam pada itu, JPM berkata, kerajaan sedang merangka naratif ekonomi Madani bagi menjelaskan hala tuju dasar utama Kerajaan Perpaduan bagi mendepani cabaran global dan domestik.

Katanya naratif ekonomi Madani yang bakal dilancarkan pada Ogos akan diselaras dengan beberapa dasar jangka sederhana dan panjang, termasuk Pelan Perindustrian Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

"Di samping itu, tumpuan dasar jangka pendek juga akan diberi melalui Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan pada Oktober tahun ini," katanya.