Pembantu penguat kuasa JPJ dituduh terima rasuah RM2,200

Tidak mengaku salah di hadapan hakim dan menjelaskan jamin

Mohd Wazir (tengah) tiba di Mahkamah Kota Bharu bagi berdepan empat tuduhan rasuah pada Selasa.
Mohd Wazir (tengah) tiba di Mahkamah Kota Bharu bagi berdepan empat tuduhan rasuah pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,200 daripada syarikat pengangkutan trailer, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Wazir Sangidin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang bertugas di Stesen Penguat kuasa JPJ Mentara KM 10 Jalan Gua Musang-Merapoh, Gua Musang didakwa menerima RM500 tanpa balasan daripada pemilik syarikat terbabit, Seh Ban Heng, masing-masing melalui tiga transaksi secara dalam talian pada 18 Januari, 23 April dan 16 Mei 2018.

Pada pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima RM700 tanpa balasan daripada individu sama melalui transaksi sama pada 11 Jun 2018.

Perbuatan itu didakwa diketahui ada kaitan dengan tugas-tugas rasminya iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas trailer mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Firdaus M Farouk.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh menjelaskan jaminan tersebut.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Julai ini.