Jenazah Mahmood Zuhdi selamat dikebumikan

Mahmood Zuhdi menghembuskan nafas terakhir pada 17 Jun 2023
Mahmood Zuhdi menghembuskan nafas terakhir pada 17 Jun 2023
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jenazah Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN)

Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat sini, kira-kira 11.30 pagi Ahad.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan dengan diimamkan oleh anak sulungnya Ahmad Naji, bersama hadirin di Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat), Seksyen 14, Petaling Jaya, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Mahmood Zuhdi, 78, menghembuskan nafas terakhir pada 10.20 malam Sabtu di kediamannya di Seksyen 11, Petaling Jaya, akibat kanser paru-paru.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Paizah Ismail dan tiga anak, Ahmad Naji, 48, Ahmad Syadi, 45, serta Ahmad Wafi, 41.

"Beliau (Allahyarham) dalam proses menghabiskan biografi, sudah pun keluar tiga siri, tidak sempat menghabiskan siri terakhir dan Allahyarham terkilan sedikit,” kata Ahmad Naji dan menambah ketika dimaklumkan mengenai penyakit yang dihidapi bapanya, ia sudah berada pada tahap empat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Bulat serta tanah perkuburan.

Mujahid ketika ditemui berkata hari ini negara kehilangan seorang ilmuwan yang banyak memberi sumbangan bukan sahaja menulis tetapi juga memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai soal fiqah.

"Pandangan Allahyarham sangat penting, banyak buku yang Allahyarham tulis dan kita kehilangan, sedih dan semoga segala sumbangan Allahyarham Mahmood Zuhdi boleh dikembangkan oleh generasi seterusnya dan tersimpan rekodnya sebagai seorang daripada ilmuwan yang kontemporari, lokal dan praktikal dalam konteks Malaysia khususnya dan fiqah secara umumnya,” kata Mujahid.

Mahmood Zuhdi merupakan seorang tokoh akademik serta dakwah dan ketika hayatnya pernah menjawat pelbagai jawatan antaranya Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya (UM), Pengarah Akademi Pengajian Islam UM dan Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang memperoleh Ijazah Sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Mesir dan Doktor Falsafah daripada UM juga pernah berkhidmat sebagai Dekan Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Public Bank.

Allahyarham juga menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2010. - Bernama.